July 8, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Butterfingers Janji Pengalaman Berbeza Pada Hari Kedua, Bukan Sekadar ‘Intimasi’

Spread the love

Kredit Foto: Subky Hj Bebit

Ada album yang sekadar menjadi koleksi di rak, dan ada album yang hidup dalam ingatan, membesar bersama sebuah generasi. Bagi peminat muzik alternatif tanah air, 1.2 Milligrams bukan sekadar himpunan lagu, tetapi naskhah yang membentuk identiti, mencorakkan cita rasa dan menjadi latar kepada zaman remaja yang sukar diulang.

Tiga dekad kemudian, denyut nadi album ikonik itu masih belum perlahan.  Malah, semangat yang pernah menyatukan ribuan peminat di gig bawah tanah sekitar penghujung 1990-an kembali menyala apabila Butterfingers mengumumkan satu lagi persembahan sempena ulang tahun ke-30 album 1.2 Milligrams.

Jika sebelum ini konsert yang dijadual berlangsung di Odeon Kuala Lumpur pada 8 Ogos menjadi tarikan utama, kini peminat mempunyai satu lagi peluang apabila kumpulan yang berpaksikan nuansa Grunge itu membuka hari kedua pada 9 Ogos, sekali gus menjadikan sambutan ulang tahun album berkenaan lebih istimewa.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media yang berlangsung di Banglo 289, Kuala Lumpur, pada 8 Julai lalu.  Namun, apa yang lebih menarik, persembahan kedua bukan sekadar mengulangi senarai lagu atau konsep yang sama.

Sebaliknya, Butterfingers memilih untuk menghadiahkan sesuatu yang lebih eksklusif kepada peminat menerusi segmen akustik, sekali gus membolehkan penonton menikmati sisi berbeza kumpulan yang selama ini sinonim dengan ledakan gitar, bunyi distorsi dan aura grunge yang menjadi identiti mereka.

Menurut Butterfingers, keputusan membuka satu lagi persembahan lahir daripada sambutan luar biasa yang diterima sejak konsert itu diumumkan.

“Kami benar-benar tersentuh melihat reaksi peminat. Ramai berkongsi bagaimana album 1.2 Milligrams menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Ada yang membesar dengan lagu-lagu ini, ada yang mula mengenali Butterfingers melalui ibu bapa atau abang mereka.

“Bila melihat sambutan sebegitu, kami rasa sambutan ulang tahun ini tidak sepatutnya terhenti pada satu malam sahaja. Kami mahu lebih ramai menjadi sebahagian daripada sejarah ini,” katanya.

Tambah mereka, sesi kedua juga diwujudkan supaya peminat yang hadir tidak sekadar menyaksikan pengulangan persembahan malam pertama.

“Kami sentiasa percaya setiap persembahan perlu ada jiwanya sendiri. Sebab itu kami tampilkan segmen akustik yang lebih santai dan intim. Mungkin ada lagu yang sudah lama tidak dimainkan, mungkin juga ada cerita di sebalik pembikinan lagu yang ingin kami kongsi.

“Kami mahu penonton pulang bukan sekadar mengingati lagu-lagu yang dimainkan, tetapi membawa bersama satu pengalaman yang berbeza daripada malam sebelumnya,” katanya.

Bagi peminat setia Butterfingers, pengumuman itu ibarat membuka semula sebuah kapsul masa.

Album 1.2 Milligrams yang diterbitkan pada 1996 dianggap antara karya paling penting dalam landskap muzik alternatif Malaysia. Ia bukan sahaja memperkenalkan identiti muzik Butterfingers yang tersendiri, malah menjadi antara album yang membantu mengangkat budaya muzik bebas ke arus perdana ketika genre grunge dan alternatif mula mendapat tempat di negara ini.

Lagu-lagu daripada album itu masih terus diputarkan sehingga hari ini, membuktikan karya yang lahir tiga dekad lalu masih mampu merentasi perubahan zaman tanpa kehilangan sentuhan magisnya.

Pemilihan Odeon Kuala Lumpur sebagai lokasi sambutan ulang tahun itu juga bukan satu kebetulan.

Bangunan yang sarat dengan nilai sejarah itu dilihat cukup bertepatan untuk menghidupkan semula nostalgia era kegemilangan muzik alternatif tempatan, seolah-olah membawa peminat kembali ke zaman ketika gig kecil, kaset dan CD menjadi nadi budaya muzik anak muda.

Konsert pada 8 Ogos bakal menyaksikan Butterfingers mempersembahkan keseluruhan album 1.2 Milligrams, manakala persembahan 9 Ogos yang berlangsung pada sebelah petang dalam format fully seated akan diperkaya dengan segmen akustik eksklusif dan beberapa kejutan lain yang tidak dipersembahkan pada malam pertama.

Selepas 30 tahun, Butterfingers membuktikan karya yang lahir daripada jiwa yang jujur tidak pernah mengenal tarikh luput. Album 1.2 Milligrams mungkin sudah memasuki usia tiga dekad, namun pengaruhnya masih berbisa, terus bergema daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket yang bermula RM209 dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi butterfingers12mg30.com/session2


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page