July 5, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Aishah Hipnosis Peminat, Malam Nostalgia Jadi Kapsul Masa Emosi

Spread the love

Legenda Suara Emas Negara Hanyutkan 3,000 Peminat Dalam Lautan Nostalgia Di ‘40 Chapters Of Love’

Kredit Foto:  PapaDin

Suasana di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu berubah menjadi sebuah kapsul masa yang membawa penonton merentasi empat dekad perjalanan seni seorang legenda. Konsert Aishah 40 Chapters of Love bukan sekadar persembahan malah ianya boleh diklasifikasikan sebagai sebuah perayaan, sebuah penghormatan dan sebuah perjalanan emosi yang membuat ribuan penonton seolah-olah sedang hidup dalam setiap bab kisahnya.

Konsert Aishah 40 Chapters of Love anjuran Vox Nation Live itu menghimpunkan kira-kira 3,000 peminat yang bukan sahaja datang untuk menonton, tetapi untuk “pulang” ke era demi era yang pernah membentuk kehidupan mereka melalui lagu-lagu Aishah.

Seawal overture dramatik bergema, dewan sudah mula ‘dipinjamkan’ kepada masa lalu. Kemunculan Aishah dengan segmen pembukaan yang menggabungkan elemen retro dan moden terus mencuri perhatian, sebelum beliau membuka pentas dengan rangkaian lagu Camar Yang Pulang, Tiada Duka, Never Gave Up On You dan Jari-Jari Sakit Semua.

Penonton tidak hanya duduk diam tetapi mereka menyanyi bersama, seolah-olah setiap bait lagu masih segar dalam jiwa masing-masing.

Perjalanan konsert kemudian berubah menjadi lebih intim apabila Aishah membawa penonton ke fasa klasik menerusi Kau Sahabat Kekasih Teman, Kasih Kita dan Kau Yang Istimewa. Suasana menjadi lebih perlahan, lebih dekat, seakan membuka album kenangan yang lama tersimpan.

Namun momen paling mencuri perhatian hadir apabila Aishah tampil dengan busana hitam emas tradisional, membawa elemen budaya Malaysia menerusi Tari Silat Melayu, Lambaian Nogori dan Bahtera Merdeka yang disambut sorakan bangga peminat.

Jika ada detik paling menyentuh jiwa, ia hadir pada segmen balada. Lagu Fatwa Pujangga, Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu menjadikan dewan seakan “beku” dalam emosi.

Ramai penonton hanya diam. Ada yang kelihatan menunduk. Ada juga yang sebak. Seolah-olah setiap lagu sedang berbicara dengan kehidupan mereka sendiri.

Aishah kemudiannya tampil dengan kostum putih yang elegan sekaligus mengangkat persembahan ke dimensi lebih luas, dimana lagu Bayangan dan You’ve Got A Friend menjadi simbol bahawa perjalanan Aishah bukan hanya di Malaysia, tetapi turut melangkaui sempadan antarabangsa.

Gandingan dua generasi, penyanyi legenda Datuk Aishah dan penyanyi muda Ara Johari, mencuri perhatian paling besar pada Konsert Aishah 40 Chapters of Love apabila mereka tampil menerusi lagu malar segar Kemaafan Dendam Yang Terindah.

Persembahan duet itu menerima sorakan gemuruh khalayak yang memenuhi dewan apabila kedua-dua penyanyi tersebut berjaya menghidupkan semula lagu berkenaan dengan sentuhan baharu yang lebih segar dan dramatik.

Walaupun datang daripada dua era berbeza, Aishah dan Ara membuktikan keserasian vokal mereka masih berada pada tahap luar biasa. Lebih menarik, susunan muzik lagu tersebut diolah dengan elemen rock yang memberikan dimensi baharu berbanding versi asal, sekali gus menjadikan segmen itu antara momen paling diingati sepanjang konsert.

Suasana di dalam dewan turut diperkukuhkan dengan visual api pada skrin LED yang menambah intensiti emosi persembahan, menjadikan keseluruhan segmen itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi satu pengalaman visual yang dramatik.

Ara mengakui pada awalnya berasa gementar apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan Aishah yang disifatkannya sebagai ikon legenda tanah air.

“Sejujurnya saya memang gementar kerana kami datang daripada dua generasi berbeza. Namun peluang ini satu penghormatan besar buat saya. Saya akan terus membawa lagu ini dalam versi rock seperti malam ini,” katanya.

Konsert berdurasi hampir dua jam 30 minit itu turut menjadi pentas istimewa buat Aishah yang meraikan 40 tahun perjalanan seninya dalam industri muzik. Beliau mempersembahkan lebih 30 lagu merangkumi fasa awal bersama kumpulan Fan Club sehinggalah era solo yang mengangkat namanya di persada antarabangsa.

Sepanjang persembahan, penonton tidak henti-henti menyanyi bersama, membuktikan karya-karya Aishah masih kekal relevan dan dekat di hati peminat. Pada usia 61 tahun, beliau juga membuktikan keampuhan vokalnya apabila berjaya membawakan lagu bernada tinggi seperti Janji Manismu dan Kemaafan Dendam Yang Terindah dengan penuh konsisten tanpa bergantung kepada teleprompter.

Aishah turut tampil anggun dengan lima persalinan berbeza mengikut segmen persembahan, yang menyaksikan variasi genre daripada pop, balada, lagu tradisional hingga ke lagu berbahasa Inggeris yang pernah mengangkat namanya di peringkat antarabangsa.

Menjelang penghujung persembahan, Aishah menyampaikan ucapan penuh emosi sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan empat dekadnya dalam industri.

“Malam ini saya meraikan 40 tahun dalam industri. Kalau panjang umur, mungkin kita boleh berjumpa lagi. Jika ini pertemuan terakhir, saya mohon maaf atas segala kekurangan,” katanya.

Konsert berkenaan diakhiri dengan  lagu ‘Janji Manismu’, suasana penuh emosi apabila dewan dihujani konfeti sebelum penonton berdiri memberikan standing ovation sebagai tanda penghargaan terhadap sebuah malam yang sarat nostalgia, kekuatan vokal dan penghormatan terhadap legasi seni Aishah.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page