July 6, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

FKJ Janji Persembahan Penuh Magis di Zepp KL

Spread the love

Bagi peminat muzik yang menghargai keindahan bunyi di luar kebiasaan, nama FKJ tidak sekadar sinonim dengan muzik elektronik, tetapi juga persembahan secara langsung yang penuh magis dan sukar diulang.

Selepas mencipta fenomena di pentas antarabangsa menerusi gabungan jazz, soul, funk, hip hop dan muzik elektronik yang dipersembahkan secara spontan, pemuzik, penyanyi dan penerbit dari Perancis itu bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Disember depan, yang dianjurkan oleh Live Nation.

Konsert berkenaan adalah sebahagian daripada jelajah Asia sempena pelancaran album studio ketiganya, Tyber, yang bakal menemui peminat September ini.

Apa yang membezakan FKJ dengan kebanyakan pemuzik lain ialah keupayaannya membina sebuah persembahan secara langsung menggunakan pelbagai instrumen, teknik looping serta improvisasi yang menjadikan setiap konsert memiliki identiti tersendiri.

Tiada persembahan FKJ yang benar-benar sama kerana setiap lagu berkembang mengikut emosi dan interaksi di atas pentas, sekali gus memberikan pengalaman yang unik kepada setiap penonton.

Kehebatan itu menjadikan beliau antara artis paling dihormati dalam landskap muzik elektronik moden, selain sering dianggap sebagai pelopor aliran New French House yang menggabungkan elemen elektronik dengan sentuhan muzik organik.

Lebih membanggakan, persembahan FKJ bukan sahaja memukau dari aspek muzik, malah turut diserikan dengan visual yang imersif, menjadikan setiap konsert ibarat sebuah perjalanan audio dan visual yang membawa penonton hanyut dalam dunia ciptaannya.

Sepanjang kariernya, beliau berjaya mengumpulkan lebih 2.5 juta pelanggan di YouTube, selain membuat persembahan di festival dan pentas berprestij dunia seperti Coachella, Red Rocks Amphitheatre serta Hammersmith Apollo di London.

Kunjungan ke Kuala Lumpur kali ini juga membawa misi memperkenalkan dunia Tyber, album yang lahir daripada perjalanan hidup dan pencarian diri sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Dirakam di beberapa negara termasuk London, Los Angeles, Paris, Brazil dan Mexico, Tyber memperlihatkan sisi FKJ yang lebih bebas bereksperimen menerusi gabungan komposisi jazz, funk, R&B, alt-pop dan tekstur psychedelic tanpa mengorbankan identiti muziknya.

Single pertama daripada album itu, Soulmates, menjadi gambaran awal kepada karya berkenaan yang sarat dengan melodi hangat, alunan groove yang lembut serta susunan muzik yang membangkitkan emosi.

Album itu turut menampilkan kerjasama bersama beberapa artis antarabangsa termasuk Lucy Park, Baby Rose, Bas, Eryn Allen Kane dan Labrinth, sekali gus memperkayakan lagi warna muzik yang dibawakan FKJ.

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, beliau turut aktif berkolaborasi bersama nama besar seperti Yussef Dayes, JENNIE, Jordan Rakei dan Sofiane Pamart, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemuzik paling kreatif dalam industri muzik global.

Bagi peminat tempatan, konsert anjuran Live Nation ini bukan sekadar peluang menyaksikan FKJ mempersembahkan lagu-lagu popularnya, malah menjadi kesempatan menikmati pengalaman muzik yang dibina secara spontan di depan mata.

Setiap petikan gitar, alunan papan kekunci, permainan saksofon, bunyi dram dan lapisan vokal yang dihasilkan secara langsung bakal bergabung menjadi sebuah persembahan penuh emosi yang menjadi tanda dagangan pemuzik kelahiran Perancis itu.

Tiket konsert FKJ di Zepp KL ditawarkan pada harga bermula sekitar RM288 hingga RM458 (tidak termasuk caj pemprosesan), bergantung kepada kategori tempat duduk dan zon yang dipilih.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi platform rasmi Live Nation Malaysia di: https://www.livenation.my/event/fkj-tyber-tour-kuala-lumpur-tickets-edp1685096

Jualan tiket akan dibuka mengikut fasa Prajualan artis: 6 Julai (11 pagi – 11.59 malam),  Mastercard presale: 7 Julai (11 pagi), Live Nation presale: 8 Julai (12 tengah hari) dan Jualan umum: 9 Julai (11 pagi)

Penganjur mengingatkan peminat supaya mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan risiko penipuan dan pembelian tidak sah.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page