Suara Penggiat Muzik Bergema di Saloma KL
Royalti, AI Dan Masa Depan Industri Antara Fokus Konvensyen Penggiat Muzik 2026
Kredit Foto: KARYAWAN
Selepas sekian lama berdepan pelbagai cabaran yang menuntut perhatian serius, suara warga muzik tanah air akhirnya bergema dalam satu wadah yang menyatukan pelbagai lapisan pemain industri menerusi Konvensyen Penggiat Muzik 2026 yang berlangsung di Saloma KL, Jalan Ampang, pada 21 Jun lalu.
Dianjurkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), konvensyen berkenaan menjadi platform penting dalam mempertemukan artis, pemuzik, komposer, penerbit, pengurus artis, ahli akademik dan generasi baharu industri muzik bagi membincangkan pelbagai isu yang bakal menentukan hala tuju industri kreatif negara.
Sejak bermula seawal jam 10 pagi, dewan Saloma KL dipenuhi aura positif dengan pelbagai perkongsian bernilai daripada tokoh industri yang berkongsi pengalaman, pandangan dan cadangan dalam usaha memperkasakan ekosistem muzik tempatan.
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, konvensyen itu membuktikan kesungguhan warga muzik untuk bergerak seiring dalam mendepani cabaran industri yang semakin berubah.
“Hasil perbincangan dan pandangan yang dikumpulkan sepanjang konvensyen ini akan diterjemahkan dalam bentuk resolusi dan memorandum untuk dibawa kepada pihak berkaitan demi memastikan masa depan industri muzik terus terjamin,” katanya.
Sebanyak lima sesi utama berlangsung sepanjang konvensyen dengan sesi pertama bertemakan Geran dan Konsert yang menampilkan Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Para Rajagopal bersama Shirazdeen Karim dan Aqmal Hakim, manakala Freddie sendiri bertindak sebagai moderator.

Sesi kedua pula memberi fokus kepada Pendidikan Muzik menerusi perkongsian Prof Dr Ramona Tahir, Prof Dr Tazul Izan Tajuddin, Muhamad Syukor Ibrahim dan Wan Haris Wan Ismail mengenai kepentingan melahirkan lebih ramai tenaga profesional serta bakat baharu dalam bidang muzik.
Isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri kreatif menjadi topik hangat menerusi sesi ketiga yang dimulakan dengan persembahan istimewa Joe Burnmark sebelum diteruskan dengan perbincangan membabitkan Dr Moja Salim, Haji Rozman Abas dan Othman Masri mengenai peluang serta cabaran yang dibawa teknologi berkenaan.
Sesi keempat yang menyentuh mengenai hak cipta dan royalti pula menyaksikan Freddie bergandingan dengan Ad Samad dan Kimmy Khir membincangkan kepentingan melindungi karya seni serta memastikan pengagihan royalti yang lebih adil kepada penggiat muzik.

Sementara itu, sesi terakhir mengenai Media Sosial dan Saluran Digital menghimpunkan Joe Lee, Prashan Chitty dan Melvin Wong yang berkongsi pandangan mengenai perubahan landskap pemasaran muzik serta kepentingan platform digital dalam membantu artis memperluaskan capaian karya mereka.
Selain sesi forum, konvensyen itu turut menjadi medan bertukar idea dan mengeratkan hubungan sesama pemain industri dalam usaha mewujudkan ekosistem muzik yang lebih sihat, progresif dan mampan.

Konvensyen Penggiat Muzik 2026 turut membuktikan bahawa industri muzik Malaysia terus berkembang menerusi perkongsian ilmu, perbincangan strategik serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan.
