June 19, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Tanpa Ada Kepastian’, Luahan Hati Boboy Tentang Cinta Yang Tergantung

Spread the love

Dalam dunia percintaan moden, tidak semua hubungan hadir bersama jaminan dan hala tuju yang jelas. Ada yang sekadar bertahan atas nama harapan, meskipun hakikatnya tiada kepastian menanti di penghujung jalan.

Realiti itulah yang diangkat penyanyi muda berbakat, Boboy, menerusi single terbaharunya berjudul Tanpa Ada Kepastian, sebuah karya balada emosional yang menyelami perasaan individu yang terperangkap dalam hubungan tanpa status dan arah tujuan.

Menurut Boboy, lagu berkenaan bukan sekadar sebuah karya cinta biasa, sebaliknya membawa mesej yang cukup dekat dengan pengalaman ramai anak muda masa kini yang pernah berada dalam situasi serba tidak pasti.

“Lagu ini mengisahkan tentang sebuah hubungan yang tergantung. Kita bersama seseorang, tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ada harapan, tetapi pada masa sama kita sendiri sedar bahawa tiada kepastian yang menanti,” katanya.

Lebih menguatkan penghayatan, Boboy mengakui lagu itu turut mempunyai kaitan rapat dengan pengalaman hidupnya sendiri.

Penyanyi kelahiran Sabah itu berkata, dia pernah melalui fasa hubungan yang tidak jelas sehingga membuatkan setiap bait lirik dan emosi yang disampaikan terasa sangat peribadi.

“Saya pernah berada dalam situasi seperti itu. Sebab itu emosi yang saya bawa dalam lagu ini datang daripada pengalaman sebenar. Saya faham bagaimana rasanya berharap kepada sesuatu yang tidak pasti,” katanya.

Kejujuran itulah yang menjadikan Tanpa Ada Kepastian sebuah karya yang sarat emosi dan mampu menyentuh hati pendengar yang pernah melalui episod cinta serupa.

Bagi komposer lagu itu, Ilham Baso, idea menghasilkan karya berkenaan tercetus daripada kisah yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Menurutnya, ramai individu memilih untuk terus bertahan dalam hubungan yang tidak jelas kerana terlalu berharap kepada perubahan yang belum tentu akan berlaku.

“Idea lagu ini lahir daripada realiti yang berlaku di sekeliling kita. Ramai yang saling menyayangi, tetapi hubungan mereka tergantung tanpa arah yang jelas. Dari situlah saya mula membina cerita lagu ini,” katanya.

Tambah Ilham, selain pengalaman peribadi, inspirasi lagu itu turut datang daripada kisah rakan-rakan dan individu di sekelilingnya yang pernah melalui konflik cinta yang rumit.

Beliau percaya genre balada adalah medium paling sesuai untuk menyampaikan emosi sedih, kecewa dan pasrah yang menjadi tunjang utama karya berkenaan.

“Dengan muzik balada, pendengar dapat merasai emosi itu dengan lebih mendalam. Ia memberi ruang kepada cerita dan perasaan untuk benar-benar sampai kepada mereka,” katanya.

Dalam proses penciptaan lagu, Ilham mengakui cabaran terbesar adalah menterjemahkan rasa bercampur-baur yang hadir dalam hubungan tanpa kepastian.

Katanya, perasaan sedih, kecewa, letih dan pasrah perlu diterjemahkan ke dalam melodi serta lirik yang ringkas tetapi berkesan.

“Bahagian korus sebenarnya antara yang terawal dihasilkan. Dari situ kami membina keseluruhan cerita supaya emosi lagu terus berkembang sehingga ke penghujung,” katanya.

Menariknya, lagu berkenaan pada asalnya tidak ditulis khusus untuk Boboy. Namun selepas mendengar karakter vokal penyanyi itu, Ilham merasakan Boboy adalah individu paling tepat untuk menghidupkan karya tersebut.

“Selepas mendengar cara dia menyanyi, saya rasa lagu ini memang sesuai dengan warna suaranya. Dia mempunyai karakter vokal yang lembut dan emosional,” katanya.

Malah, Boboy turut terlibat secara langsung dalam proses pembikinan lagu apabila memberi idea terhadap beberapa bahagian melodi dan cara penyampaian supaya lebih dekat dengan emosi yang ingin diketengahkan.

Jika lagu itu diibaratkan sebagai satu babak dalam kehidupannya, Boboy menyifatkannya sebagai fasa pembelajaran mengenai realiti cinta. Menurutnya, tidak semua hubungan perlu diperjuangkan hingga ke penghujung sekiranya ia hanya mengundang ketidakpastian.

“Ada masanya kita perlu menerima hakikat bahawa melepaskan adalah pilihan yang lebih baik daripada terus bertahan dalam sesuatu yang tidak memberikan kejelasan,” katanya.

Cabaran turut hadir ketika sesi rakaman apabila Boboy mengalami demam yang menjejaskan kawalan vokalnya.  Namun keadaan itu tidak menghalangnya untuk memberikan komitmen penuh terhadap lagu tersebut.

“Saya perlu benar-benar masuk ke dalam emosi lagu ini supaya pendengar dapat merasai konflik dan kesedihan yang cuba disampaikan,” katanya.

Malah, penghayatan mendalam terhadap jalan cerita lagu itu hampir membuatkan dirinya menitiskan air mata ketika berada di studio rakaman.  Perasaan sama turut dibawa ketika penggambaran video muzik yang berlangsung di Kundasang, Sabah.

Keindahan panorama tanah tinggi itu menjadi latar sempurna kepada kisah cinta yang penuh penantian dan ketidakpastian.

“Saya terbawa-bawa dengan emosi watak yang dimainkan. Ada beberapa babak yang terasa sangat real kerana saya benar-benar menghayati cerita dalam lagu ini,” katanya.

Dalam era muzik yang semakin dipengaruhi trend pantas dan karya berkonsep ringan, Boboy percaya lagu balada masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati pendengar.

Baginya, emosi adalah bahasa universal yang sentiasa dekat dengan kehidupan manusia.

“Saya percaya lagu yang menyentuh perasaan akan sentiasa relevan kerana ramai masih berdepan kisah cinta yang rumit dan penuh ketidakpastian,” katanya.

Pandangan itu turut disokong Ilham yang berpendapat karya yang jujur dan lahir daripada emosi sebenar tidak akan lapuk ditelan masa.

“Trend muzik mungkin berubah, tetapi lagu yang ikhlas dan penuh emosi akan sentiasa mempunyai pendengar,” katanya.

Walaupun balada dilihat sebagai kekuatan utamanya ketika ini, Boboy tidak mahu meletakkan batas terhadap perjalanan seninya.  Sebaliknya, dia mahu terus bereksperimen dengan pelbagai genre bagi memperluaskan identiti muziknya.

“Saya mahu pendengar merasakan apa yang saya rasa. Kejujuran adalah perkara paling penting dalam setiap lagu yang saya bawakan,” katanya.

Menjadikan Mario G Klau, Afgan dan Seventeen sebagai sumber inspirasi, Boboy berharap Tanpa Ada Kepastian mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang berdepan hubungan tanpa arah dan jawapan.

“Saya mahu mereka yang sedang melalui situasi ini tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Saya harap lagu ini dapat menemani dan memberi kekuatan kepada mereka,” katanya.

Diterbitkan oleh AJ Productions Sdn Bhd, Tanpa Ada Kepastian kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan seni penyanyi muda yang semakin mencuri perhatian itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page