‘Gila’ Bukan Kisah Saya, Tapi Luka Mereka – Aepul Roza
Kredit Foto: PapaDin
Bukan semua lagu yang ditulis datang daripada pengalaman sendiri. Ada kalanya, ia lahir daripada kisah orang lain yang terlalu berat untuk diluahkan, lalu diterjemahkan menjadi sebuah karya yang mampu menyentuh hati ramai.
Itulah falsafah yang dipegang penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Aepul Roza ketika menghasilkan single terbaharu berjudul Gila, sebuah karya yang menjadi pembuka jalan kepada projek mega terbaharunya, Trilogi.
Menurut Aepul, lagu berkenaan lahir daripada rasa empati terhadap kisah kehidupan individu yang pernah ditemuinya sepanjang perjalanan sebagai anak seni.

“Sebagai penulis lagu, saya melihat diri saya sebagai medium untuk menyampaikan kisah mereka yang mungkin tidak mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan sendiri.
“Gila memang berasaskan kisah benar, tetapi bukan sepenuhnya pengalaman saya. Tugas saya adalah menyelami emosi dan pengalaman orang lain supaya cerita itu dapat disampaikan dengan jujur kepada pendengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video Gila serta pengenalan rasmi projek Trilogi yang berlangsung di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Apa yang menarik, lagu tersebut sebenarnya bukan karya baharu. Aepul mendedahkan demo asal Gila sudah pun disiapkan sejak 2022, namun sengaja disimpan kerana merasakan belum tiba masa yang sesuai untuk diterbitkan.
“Saya tunggu bertahun-tahun kerana belum menemui kombinasi penyanyi yang tepat untuk membawa lagu ini. Bila projek Trilogi mula dirancang, saya terus tahu inilah lagu yang paling sesuai untuk menjadi pembuka perjalanan kami,” katanya.

Trilogi yang menghimpunkan tiga figura vokal rock iaitu Aepul sendiri, Aweera dan Fiq Halim dilihat sebagai satu gabungan yang jarang berlaku dalam industri muzik tempatan.
Bagi Aepul, cabaran terbesar bukanlah memastikan lagu itu dinyanyikan dengan baik, tetapi bagaimana untuk menyerlahkan identiti setiap penyanyi dalam sebuah karya yang sama.
“Ketiga-tiga kami berada dalam genre yang hampir serupa dan masing-masing mempunyai kekuatan vokal tersendiri.
“Sebagai penerbit, saya perlu memastikan pendengar boleh mengenali siapa yang sedang menyanyi walaupun tanpa melihat video muzik. Ada masanya saya sengaja mengurangkan bahagian nyanyian saya sendiri supaya emosi lagu dapat disampaikan dengan lebih kuat oleh Aweera dan Fiq,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat demi memastikan kualiti karya mengatasi kepentingan individu.
“Apabila masuk ke studio, ego perlu ditinggalkan di luar. Yang penting adalah lagu dan bagaimana ia dapat menyentuh pendengar,” ujarnya.
Mengulas mengenai identiti muzik Gila, Aepul memilih pendekatan rockestra iaitu gabungan elemen rock dan orkestra yang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Katanya, penggunaan susunan strings, lapisan muzik sinematik dan elemen dramatik mampu memberikan kesan emosi yang lebih mendalam berbanding balada rock biasa.
“Saya suka muzik yang mempunyai ruang untuk bercerita. Apabila elemen orkestra digabungkan dengan rock, ia menghasilkan suasana yang lebih besar dan lebih emosional,” katanya.
Dalam pada itu, Aepul menegaskan Trilogi bukan sekadar projek sampingan atau kolaborasi sementara, sebaliknya dirancang sebagai sebuah platform jangka panjang yang akan terus berkembang.

Beliau percaya Aweera dan Fiq Halim mempunyai kapasiti besar untuk menjadi antara nama penting dalam arena rock moden tempatan jika diberikan ruang yang lebih luas.
“Saya masih percaya muzik rock mempunyai kelompok peminat yang sangat setia. Genre ini tidak pernah mati. Trilogi adalah bukti bahawa rock masih mempunyai tempat dan masa depan dalam industri muzik Malaysia,” katanya.
Selain pelancaran Gila, projek Trilogi kini sedang menyiapkan mini album yang mengandungi enam lagu baharu. Menariknya, setiap anggota juga bakal tampil dengan karya solo masing-masing yang akan bergerak seiring dengan perjalanan kumpulan itu.
Semua karya berkenaan dijangka diperkenalkan secara rasmi menerusi Konsert Trilogi yang bakal berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra UPM.

Bercakap mengenai usaha menganjurkan konsert secara kendiri, Aepul mengakui beliau lebih gemar mencipta peluang sendiri berbanding menunggu peluang datang.
“Kami percaya jika mahu bergerak ke hadapan, kami perlu mulakan sendiri. Jangan tunggu orang lain membuka pintu kerana kadang-kadang kita sendiri perlu membina pintu itu,” katanya.
Di sebalik kesibukan menghasilkan karya dan menggerakkan projek baharu, Aepul turut memasang impian lebih besar menerusi syarikatnya, Aepul Roza Music.
Beliau berharap syarikat tersebut bukan sahaja menjadi platform penerbitan muzik, malah mampu berperanan sebagai pusat pembangunan bakat yang melahirkan generasi baharu artis tempatan.
“Saya mahu melihat lebih ramai bakat baharu diberikan peluang. Jika industri mahu terus berkembang, kita perlu melahirkan pelapis yang berkualiti. Itu antara visi terbesar saya untuk Aepul Roza Music pada masa hadapan,” katanya.
Dengan pelancaran Gila dan kelahiran Trilogi, Aepul bukan sekadar memperkenalkan sebuah lagu baharu, sebaliknya sedang membina satu gerakan yang mahu membuktikan muzik rock tempatan masih mampu berdiri megah dan relevan dalam landskap industri moden hari ini.
