Ramli Sarip, Ziana Zain Meriahkan Homecoming Ella Di Pulau Pinang
Konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru” terus mencuri perhatian apabila dua nama besar industri muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain disahkan sebagai artis jemputan istimewa pada persembahan yang bakal berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos depan.
Pengumuman itu sekali gus menambahkan lagi keterujaan peminat untuk menyaksikan sambutan ulang tahun ke-60 Ratu Rock negara yang dijangka menjadi antara konsert terbesar tahun ini.
Bagi peminat muzik tempatan, kehadiran Ramli Sarip dan Ziana Zain bukan sekadar pelengkap acara, sebaliknya membawa simbolik tersendiri apabila ketiga-tiga nama ini merupakan antara figura paling berpengaruh dalam sejarah industri muzik Malaysia.
Ramli Sarip yang terkenal dengan gelaran Papa Rock Malaysia mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan perjalanan muzik rock tanah air sejak lebih empat dekad lalu.
Keunikan vokal, karisma pentas dan karya malar segarnya menjadikan beliau antara artis yang terus mendapat tempat dalam hati peminat pelbagai generasi.
Kehadirannya bersama Ella dilihat sebagai pertemuan dua legenda rock yang banyak berjasa dalam memartabatkan muzik tempatan.
Dalam masa sama, penyertaan Ziana Zain pula menambah warna berbeza kepada konsert berkenaan.
Sebagai antara diva paling berjaya dalam industri hiburan tanah air, Ziana mempunyai kelompok peminat tersendiri yang sentiasa menantikan kemunculannya di pentas besar.
Gabungan vokal hebat, persembahan bertenaga dan aura seorang penghibur berpengalaman menjadikan kemunculan Ziana antara detik yang paling dinanti-nantikan pada malam berkenaan.
Pihak penganjur, Hitman Solutions sebelum ini mengumumkan perubahan lokasi dan tarikh konsert kepada Setia SPICE Arena pada 22 Ogos 2026 bagi memberikan pengalaman yang lebih selesa dan optimum kepada penonton.
Menurut penganjur, pemilihan venue itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk aspek teknikal, keselesaan penonton dan pengalaman persembahan yang lebih imersif.

Menariknya, Setia SPICE Arena turut mempunyai nilai sentimental buat Ella kerana lokasi sama pernah menjadi saksi kejayaan konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang menghimpunkan lebih 14,000 peminat.
Mengulas mengenai konsert itu, Ella berkata beliau teruja untuk kembali bertemu peminat di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak dahulu.
“Keutamaan saya sentiasa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Saya tidak sabar untuk kembali ke Pulau Pinang dan berkongsi malam yang istimewa bersama mereka,” katanya.
Selain Ramli Sarip dan Ziana Zain, beberapa lagi nama artis jemputan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Konsert itu turut mengekalkan tema rasmi “90’s Glam Rock: Battle of The Bands” yang mengangkat nostalgia era kegemilangan muzik rock tempatan.

Dengan gabungan Ella, Ramli Sarip dan Ziana Zain di atas satu pentas, Homecoming Edisi 60 Permata Biru dijangka menjadi sebuah persembahan yang bukan sahaja sarat dengan nostalgia, malah meraikan legasi tiga ikon besar yang pernah mencorakkan landskap muzik Malaysia.
