Feast Janji ‘Aura’ Luar Kotak Buat ‘Kelelawar’ Malaysia
Konsert Penutup Era Membangun & Menghancurkan Di Kuala Lumpur Hadir Dengan Kejutan Istimewa Buat Peminat Setia
Kumpulan rock alternatif popular Indonesia, Feast, berjanji menghadirkan pengalaman luar biasa buat peminat setia mereka menerusi konsert solo sulung di Malaysia yang berlangsung selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur bermula malam ini.
Menerusi konsert Pertunjukan Membangun & Menghancurkan yang dianjurkan oleh TAPAUasia bersama Sun Eater, Feast bukan sahaja membawa persembahan berskala besar, malah menjanjikan pelbagai elemen istimewa yang dirancang khas buat komuniti peminat mereka yang dikenali sebagai Kelelawar Malaysia. Kuala Lumpur turut dipilih sebagai destinasi terakhir bagi menutup tirai jelajah album ketiga mereka yang membawa judul sama
Lebih bermakna, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir bagi menutup tirai era album ketiga mereka, Membangun & Menghancurkan, yang dilancarkan pada tahun 2024 dan berjaya mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di rantau ini.
Pemain bassnya, Fadli Fikriawan, mengakui Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam perjalanan seni Feast.

Menurutnya, sokongan luar biasa yang diterima daripada peminat tempatan menjadi antara faktor utama mengapa Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi penutup jelajah album berkenaan.
“Malaysia boleh dianggap sebagai rumah kedua, atau mungkin rumah ketiga kami selepas Surabaya. Setiap kali datang ke sini, suasananya terasa seperti pulang ke rumah sendiri.
“Antara komuniti peminat terbesar dan paling aktif yang kami miliki adalah di sini. Kelelawar Malaysia sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa kepada kami sejak dahulu lagi,” katanya katanya pada sidang media konsert berkenaan Citizen M, pada 5 Jun lalu.
Fadli berkata, semangat yang ditunjukkan peminat tempatan membuatkan mereka mahu memberikan sesuatu yang lebih istimewa berbanding persembahan biasa.
“Sebab itu kami memilih Malaysia sebagai lokasi penutup era Membangun & Menghancurkan. Kami ada beberapa kejutan yang disediakan khas untuk peminat di sini, tetapi biarlah ia menjadi rahsia sehingga malam persembahan nanti,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, vokalis Baskara Putra mengakui persembahan selama dua malam berturut-turut memberikan cabaran besar buat mereka kerana perlu memastikan setiap malam mempunyai identiti dan pengalaman tersendiri.
Katanya, mereka tidak mahu peminat yang hadir pada kedua-dua malam menyaksikan persembahan yang sama.

“Kami perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan persembahan pada malam kedua kekal segar dan memberikan pengalaman berbeza. Seperti yang kami lakukan di Jakarta dan Surabaya, Kuala Lumpur juga akan mempunyai keistimewaannya sendiri,” katanya.
Di sebalik kemeriahan konsert dan kejayaan album Membangun & Menghancurkan, Baskara turut membuka cerita yang tidak ramai mengetahui bahawa album berkenaan sebenarnya lahir ketika Feast berada dalam fasa paling getir sepanjang penubuhan kumpulan itu.
Malah, menurutnya, hubungan antara anggota ketika itu berada pada tahap yang cukup rapuh sehingga mereka pernah mempertimbangkan untuk membawa haluan masing-masing.
“Ketika menghasilkan album ini, kami sebenarnya menyangka ia akan menjadi album terakhir Feast. Kami hampir membubarkan kumpulan.
“Selepas lebih 10 tahun bersama, kami merasakan keserasian itu semakin hilang. Ada ketika kami benar-benar percaya perjalanan Feast akan berakhir selepas album ini,” katanya.
Namun ironinya, album yang tercipta ketika kumpulan itu berdepan krisis dalaman akhirnya menjadi karya yang menyatukan mereka semula.
Album Membangun & Menghancurkan bukan sahaja mendapat pujian meluas peminat dan pengkritik muzik, malah turut dinobatkan sebagai Album Rock Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025.

Kejayaan itu menjadi titik kebangkitan baharu buat Feast yang kini tampil lebih matang, lebih utuh dan lebih yakin dalam meneruskan perjalanan muzik mereka.
Selain Baskara dan Fadli, Feast turut dianggotai Adnan Satyanugraha dan Dicky Renanda yang bersama-sama membentuk identiti muzik kumpulan itu menerusi karya sarat kritikan sosial, sindiran tajam dan refleksi realiti masyarakat.
Kini, selepas melalui fasa membina dan menghancurkan hubungan sesama sendiri, Feast kembali berdiri teguh di atas pentas. Dan untuk Kelelawar Malaysia, mereka menjanjikan satu perkara sebuah persembahan yang bukan sekadar konsert, tetapi pengalaman yang akan dikenang lama selepas tirai Zepp Kuala Lumpur ditutup.
