Fauziah Latiff Menang Tanpa Gimik, KLCC Jadi Saksi Sebuah Kejujuran
Kredit Foto: Ideatelier
Ada sesuatu yang sangat manusiawi tentang malam 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Dewan Plenari, KLCC pada 9 Mei lalu. Ia bukan sebuah malam untuk membuktikan bahawa masa tidak pernah menyentuh seorang legenda. Sebaliknya, ia adalah malam tentang keberanian seorang wanita bernama Fauziah Latiff untuk berdiri di hadapan ribuan manusia dan mengakui dirinya sedang takut.
Dan dalam dunia hiburan yang terlalu obses dengan kesempurnaan, kejujuran itulah yang akhirnya memenangkan beliau.

Sejak dari awal persembahan, Fauziah atau Jee tidak berselindung. Nada suaranya bergetar ketika meluahkan rasa gusar terhadap ekspektasi penonton. Berkali-kali beliau meminta maaf lebih awal, seolah-olah sedang mempersiapkan dirinya untuk kemungkinan tidak mampu menjadi “Fauziah Latiff” seperti yang dikenang peminat tiga dekad lalu.

Namun apa yang berlaku sepanjang lebih dua jam persembahan membuktikan sesuatu yang jauh lebih penting daripada vokal sempurna seorang penghibur sejati tahu bagaimana menyampaikan rasa.
Pembukaan menerusi Setiaku Korbankan bukan sekadar nostalgia, tetapi seperti helaian pertama sebuah jurnal emosi. Dari situ, penonton dibawa menyelusuri perjalanan panjang karier beliau menerusi Apa Sebenarnya, Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir lagu-lagu yang tidak lagi bergantung kepada kekuatan vokal semata-mata, tetapi kepada pengalaman hidup yang kini melekat pada setiap bait lirik.
Apa yang paling menarik, Fauziah tidak pernah cuba melawan usia atau memaksa dirinya menjadi seperti dahulu. Konsert ini disusun dengan cukup sedar terhadap kemampuan vokalnya hari ini. Lagu-lagu dipilih dan digubah mengikut kekuatan semasa, bukan ego lampau.
Dan di situlah letaknya kematangan sebenar seorang legenda.

Ketika menyampaikan Enggan lagu yang beliau sendiri sifatkan sebagai “lagu bunuh diri” kerana kepayahan teknikalnya namun Fauziah mempersembahkannya dengan penuh cermat dan disiplin. Barangkali ada nada yang tidak lagi setajam era kemuncaknya, tetapi emosi yang hadir menjadikan persembahan itu terasa jauh lebih bernyawa.
Keseluruhan konsert bergerak atas konsep kesederhanaan yang elegan. Tiada percubaan menutup kekurangan dengan gimik keterlaluan. Tiada sensasi murahan. Hanya susunan muzik yang kemas, permainan lampu yang lembut dan fokus penuh terhadap lagu-lagu yang membesarkan namanya.
Kekuatan besar persembahan ini juga datang daripada pengarahan muzik oleh Chaan yang berjaya mengimbangi nostalgia dengan kematangan bunyi semasa. Lagu-lagu lama diberikan nafas baharu tanpa menghilangkan “rasa” asal yang sangat dekat dengan peminat.
Antara momen paling menyentuh tentunya ketika seluruh dewan menyanyi bersama menerusi Bukan Kemahuan Fikiran, diikuti deretan lagu seperti Aku Masih Seperti Dulu, Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti, Kenari, Dari Kaki Tangga ke Menara dan Yang Kau Lebih Bercinta. Seluruh Dewan Plenari seperti berubah menjadi ruang memori kolektif buat generasi yang membesar bersama suara Fauziah.

Kemuncak emosi hadir menerusi Teratai Layu Di Tasik Madu sebuah lagu yang sejak dahulu memang tidak pernah gagal meruntuhkan jiwa pendengar. Saat beberapa baris akhir lagu itu tertinggal, Fauziah dengan tenang meminta Chaan mengulangi bahagian tersebut.
Dan detik kecil itu sebenarnya sangat besar maknanya.
Kerana profesionalisme bukan tentang tidak pernah melakukan kesilapan. Profesionalisme adalah keberanian untuk membetulkan kesilapan dengan penuh hormat terhadap penonton.

Konsert turut bertambah manis dengan kemunculan Jamal Abdillah menerusi duet Kehebatan Cinta yang menghadiahkan salah satu momen nostalgia terbaik malam itu. Jamal kemudiannya mempersembahkan Penghujung Rindu dan Gadis Melayu. Kehadiran beliau seakan melengkapkan sebuah perjalanan panjang muzik Melayu era 80-an dan 90-an yang masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat.

“Minta maaf ya kalau ada kurang”, ujarnya sekaligus menyaksikan banyak mata-mata yang dikesat tanpa disedari. Inilah keikhlasan dalam sebuah persembahan.
4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert bukan tentang kesempurnaan vokal. Ia tentang keberanian seorang penghibur berusia 56 tahun untuk kembali percaya kepada dirinya sendiri selepas empat dekad berada dalam industri.
Pujian juga wajar diberikan kepada Ideatelier yang diasaskan oleh Ezuwan Ismail kerana berani mengangkat sebuah konsert yang berdiri atas nilai kejujuran seni, bukannya sensasi murahan. Dalam landskap hiburan hari ini, itu sendiri sudah menjadi satu kemenangan besar.

Dan mungkin di situlah makna sebenar konsert ini. Bukan untuk membuktikan Fauziah Latiff masih sama seperti 20 tahun lalu. Tetapi untuk membuktikan bahawa seorang legenda tidak semestinya perlu kekal sempurna untuk terus dicintai. Kadangkala, cukup sekadar jujur.
