May 3, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Maher Zain ‘Back To You’, Comeback Penuh Jiwa, 10 Tahun Penantian Terbayar

Spread the love

Selepas sedekad menyepi daripada album penuh, penyanyi nasyid antarabangsa, Maher Zain, akhirnya kembali dengan karya terbaharu berjudul Back To You yang disifatkan sebagai refleksi perjalanan hidup dan spiritualnya.

Album terbitan Awakening Music itu bukan sekadar kemunculan semula, tetapi menjadi simbol evolusi seni Maher yang kini tampil lebih matang dari segi muzik dan pengisian rohani.

Mengandungi 16 lagu, Back To You menampilkan gabungan lirik Bahasa Arab dan Inggeris, selain menyuntik elemen muzik pelbagai budaya termasuk pengaruh Afrika dan Afrika Utara sekali gus memperlihatkan transisi bunyi yang lebih segar berbanding karya terdahulu.

Menurut Maher, judul album itu sendiri membawa maksud mendalam tentang perjalanan seorang insan kembali kepada fitrah dan Penciptanya.

“Album ini tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan dan tujuan hidup. Ia lahir daripada perjalanan peribadi dan spiritual saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Lebih menarik, projek ini bukan dihasilkan secara biasa. Sebaliknya, pembikinannya melibatkan kem penulisan lagu antarabangsa di beberapa negara seperti Maghribi, Turki, Sweden dan Indonesia, sekali gus menghimpunkan idea kreatif merentas budaya.

Maher turut bergandingan dengan artis muda Harris J serta rakan kolaborasi setia, Bara Kherigi, yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk identiti muziknya.

Dalam usaha memberi pengalaman berbeza kepada pendengar, Back To You dilancarkan secara berperingkat satu strategi luar biasa yang jarang dilakukan. Bermula sejak penghujung Januari, Maher memperkenalkan lagu baharu setiap minggu bagi membolehkan setiap karya dihayati sebagai momen refleksi, khususnya sepanjang Ramadan.

Pendekatan itu dilihat berjaya membina hubungan emosi lebih mendalam antara artis dan pendengar, berbanding pelancaran album secara “one shot”.

Secara keseluruhan, album ini menyentuh tema kebergantungan kepada Tuhan, pencarian makna hidup serta kerinduan kepada nilai spiritual yang semakin hilang dalam kehidupan moden.

Kini, Back To You sudah boleh didengari di semua platform digital utama, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Maher Zain sebagai antara figura paling berpengaruh dalam muzik berunsur keimanan di peringkat global.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page