April 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ABBA Kembali ‘Menggila’ Di KL Ogos Ini

Spread the love

Gelombang nostalgia bakal melanda ibu kota apabila Shiraz Projects membawakan persembahan tribute sensasi dunia, Björn Again – ABBA Forever, yang dijadual menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026, jam 8.30 malam.

Dikenali sebagai antara penganjur yang konsisten membawakan acara bertaraf antarabangsa ke Malaysia, Shiraz Projects sekali lagi tampil dengan naskhah hiburan berkelas tinggi, kali ini khas buat peminat muzik pop klasik yang membesar dengan karya agung kumpulan legenda Sweden, ABBA.

Lebih daripada sekadar konsert tribute, Björn Again dianggap fenomena global. Dengan rekod melebihi 7,000 persembahan di 120 negara, kumpulan ini diangkat sebagai persembahan tribute ABBA paling berjaya di dunia dan turut mendapat pengiktirafan daripada anggota asal ABBA sendiri.

Maka tidak hairanlah setiap kali mereka muncul, dewan akan bertukar menjadi pesta disko penuh warna-warni, sorakan dan lautan peminat yang sama-sama menyanyi tanpa henti.

Malam di Zepp KL nanti dijangka menjadi ledakan nostalgia apabila lagu-lagu malar segar seperti Dancing Queen, Mamma Mia, Fernando, Waterloo dan Gimme! Gimme! Gimme! dipersembahkan dengan penuh tenaga, gaya dan aura seakan menyaksikan ABBA sebenar beraksi di depan mata.

Kekuatan Björn Again bukan hanya pada muzik, tetapi keupayaan mereka menghidupkan semula era glamor 70-an menerusi kostum berkilauan, koreografi bertenaga serta vokal mantap yang cukup dekat dengan versi asal.

Shiraz Projects dilihat tepat memilih naskhah ini ketika gelombang nostalgia global semakin memuncak, apatah lagi muzik ABBA kekal relevan merentas generasi. Daripada peminat lama hinggalah generasi muda yang mengenali karya mereka menerusi filem Mamma Mia! dan media sosial, semuanya dijangka berhimpun dalam satu malam penuh magis.

Harga tiket ditawarkan bagi kategori VIP – RM600 (Meet & Greet serta merchandise eksklusif), Diamond – RM498, Platinum – RM398 , Gold – RM298 dan Silver – RM228

Tiket kini boleh didapati menerusi platform rasmi Ticket2U

Jika anda pernah menari dengan lagu ABBA suatu ketika dulu, atau baru jatuh cinta dengan muzik mereka hari ini, inilah malam yang wajib berada dalam kalendar anda.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page