April 24, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Didie Shazry Hidupkan Semula Klasik ‘Yang Berlalu Tak Berulang’

Spread the love

Gelombang kebangkitan karya klasik yang diberi sentuhan moden, penyanyi muda meningkat naik, Didie Shazry tampil membawa semula lagu malar segar Yang Berlalu Tak Berulang dalam versi lebih segar, emosional dan dekat dengan citarasa generasi hari ini.

Didie atau nama sebenarnya E.D Shazry bukan nama asing dalam kalangan peminat muzik tempatan. Anak kelahiran Sabah itu mula mencuri perhatian selepas bergelar juara program realiti Astro, Raise The Star, sekali gus membuktikan kemampuan vokalnya yang tersendiri.

Namanya terus meniti di bibir peminat selepas dipilih menyampaikan karya ciptaan Aina Abdul di pentas akhir pertandingan berkenaan, selain dikenali sebagai penyanyi muda yang memiliki tona suara lunak dan penuh jiwa.

Kini, Didie melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni apabila diberi kepercayaan oleh Luncai Emas untuk merakamkan semula lagu ikonik Yang Berlalu Tak Berulang, sebuah karya yang cukup dekat di hati pencinta muzik tempatan.

Sebagai pemegang hak cipta lagu berkenaan, Luncai Emas melihat projek rakaman semula itu sebagai usaha memperkenalkan semula karya klasik kepada pendengar baharu tanpa menjejaskan roh asal lagu tersebut.

Komposer asal, Neves Pretty Ugly menyambut baik usaha itu dan menganggap Didie berjaya membawa semula rasa yang pernah hidup dalam karya berkenaan.

“Lagu ini pernah dipopularkan mendiang Lotter, manakala liriknya ditulis Allahyarham Loloq. Kedua-duanya insan seni yang cukup besar nilainya.

“Pemergian mereka meninggalkan kekosongan yang sukar diganti. Setiap bait lirik dan melodi membawa kenangan tersendiri.

“Saya menghargai cara Didie menyampaikan semula lagu ini dengan penuh rasa dan hormat. Melalui versi baharu ini, kenangan terhadap mereka kembali hidup,” katanya.

Bagi Didie pula, peluang merakamkan semula lagu itu mempunyai makna cukup mendalam kerana karya tersebut sangat dekat dengan kehidupannya sejak kecil.

“Lagu ini dipopularkan mendiang Lotter yang sangat dikenali di Sabah. Saya membesar dengan karya-karya seperti ini dan keluarga saya juga meminatinya.

“Lebih istimewa, projek ini menghubungkan saya dengan dua figura seni yang saya kagumi sejak dulu iaitu Neves dan Allahyarham Loloq.

“Saya berharap versi ini mampu menarik minat generasi baharu dan dalam masa sama menyentuh hati peminat lama,” katanya.

Sebelum ini, Didie turut memperlihatkan sisi versatilnya menerusi lagu joget kontemporari Joget Jiwa Lara dalam album kompilasi Joget Made In Malaysia terbitan Luncai Emas bersama Amir Jahari, Kmy Kmo & Luca Sickta, Jaclyn Chia dan Puteri Khareeza.

Untuk projek terbaharu ini, proses rakaman dilakukan di Jakarta bersama produser Joel Christine serta Didie sendiri. Susunan muzik dan melodi diolah semula sepenuhnya mengikut identiti vokal Didie, namun masih mengekalkan keaslian karya asal.

Proses adunan dan mastering disempurnakan Josecar Q.M Hutabarat dari ICM Studio, Indonesia, manakala video muzik rasmi pula menjalani penggambaran di Bali hasil sentuhan Alfi Aditya.

Single Yang Berlalu Tak Berulang versi baharu ini mula dilancarkan pada 24 April jam 4 petang menerusi saluran YouTube Luncai Emas serta semua platform penstriman digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page