April 15, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Raya Lebih Bermakna! RUSA, MVM & FUKiKA Raikan Industri, Hulur Sumbangan Kebajikan

Spread the love

Dalam kemeriahan Syawal yang masih terasa, RUSA Music, MVM Music dan FUKiKA Music tampil menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 dalam suasana penuh meriah, sekali gus mengeratkan hubungan antara artis, rakan media dan penggiat industri muzik tempatan.

Namun, lebih daripada sekadar jamuan raya dan pelancaran lagu baharu, majlis ini turut diserikan dengan inisiatif kebajikan apabila pihak penganjur menyampaikan sumbangan kepada Pusat Jagaan & Rawatan Orang Tua Al Ikhlas dan Persatuan Kebajikan Anak- Anak Yatim Hajah Kamariah sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Langkah itu dilihat selari dengan usaha pelbagai organisasi di negara ini yang aktif membantu institusi kebajikan termasuk pusat jagaan warga emas dan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara .

Menurut Ariel Pua, Pengarah Perniagaan dan Pemasaran RUSA & MVM Music, penganjuran majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi membawa makna lebih besar dalam menyatukan industri serta berkongsi rezeki.

“Syawal adalah waktu terbaik untuk kita saling menghargai. Selain meraikan rakan media dan artis yang banyak menyokong kami, kami juga mahu berkongsi kegembiraan ini dengan mereka yang memerlukan.

Industri muzik bukan hanya tentang hiburan, tetapi juga tentang memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, majlis yang telah berlangsung di Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South pada 13 April itu turut menjadi platform memperkenalkan deretan lagu raya baharu daripada gabungan label RUSA, MVM, FUKiKA Music dan Padu Records yang tampil dengan sentuhan lebih segar dan moden.

Antara yang mencuri perhatian ialah “Yeye Raya” nyanyian Floor 88 bersama Odda yang terus mencetus fenomena dengan lebih tiga juta tontonan di YouTube, selain kekal dalam carta trending.

Turut mengikut jejak langkah ialah “Raya Kira Jadi” oleh Kitshafiq, Syeriena Marcella dan Masmera yang hampir mencecah empat juta tontonan serta ratusan ribu penstriman di Spotify.

Selain itu, lagu seperti “Raya 20 Simpang” (Ojenn Aiwahhh), “SHRMZDB” (Floor 88), “Tunaikan Saja Hari Raya” (Ehin & Iera Milpan), “Happy Happy Aidilfitri” (Mas Idayu) dan “Gembiraya” (Ikhmal Nour, Sarah Suhairi & Ijaa Ishak) turut menjadi pilihan pendengar sepanjang musim perayaan tahun ini.

Suasana majlis bertambah hangat dengan kehadiran barisan artis yang turut mengambil peluang beramah mesra, selain bersama-sama menyemarakkan semangat Aidilfitri dalam suasana santai dan penuh keakraban.

Ariel menambah, kejayaan lagu-lagu raya yang diterbitkan tahun ini menjadi bukti bahawa karya tempatan terus mendapat tempat di hati masyarakat.

“Sambutan yang diterima sangat luar biasa. Ini memberi semangat kepada kami untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan relevan dengan citarasa semasa,” katanya.

Mengakhiri majlis, pihak RUSA, MVM dan FUKiKA Music merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta tidak putus menyokong perjalanan mereka dalam industri seni.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page