March 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘The Last Episode’ Jadi Legasi Terakhir Hidden Silence & Arwah Bob Agigi

Spread the love

Selepas lebih 20 tahun mengharungi cabaran dunia muzik underground, Hidden Silence akhirnya menutup tirai dengan sebuah karya beremosi tinggi, The Last Episode. Album ini bukan sekadar rilisan baharu, tetapi penutup rasmi legasi mereka dalam landskap metal ekstrem tempatan.

Lebih mengharukan, ia juga menjadi karya terakhir yang melibatkan Allahyarham Bob Agigi, co-producer tersohor dari Orgasmatron Productions, yang banyak memberi sentuhan teliti dalam proses rakaman di Studio Silversound, Melaka.

“Ini adalah kerja terakhir arwah bersama kami. Banyak sentuhan dan ketelitian beliau dalam album ini,” kata Earth, pemain drum Hidden Silence.

Sebelum The Last Episode, Hidden Silence telah meninggalkan jejak dalam scene metal tempatan melalui beberapa rilisan penting iaitu Black Hearted Spiritual (2008) – Debut penuh melodic death metal yang menampilkan lagu seperti Night of the Living Terror dan Necromenicide. Rilisan ini menegaskan identiti mereka dengan gabungan riff agresif dan solo gitar berapi.

Into the Childs Nightmare (2011) – Album kedua yang menampilkan muzik lebih matang dengan riffing tajam dan konsep cerita yang kompleks, mengukuhkan kedudukan Hidden Silence dalam dunia ekstrem bawah tanah.

Rakaman album ini mengekalkan DNA asal Hidden Silence apabila dimainkan sepenuhnya oleh barisan teras mereka iaitu Earth, Sam dan Oren. Turut membantu adalah rakan seperjuangan seperti Joe V. yang mengisi gitar ritma serta Wan V. yang menyumbangkan vokal untuk lagu Cosmos Mistery.

Menariknya, album ‘ The Last Episode’ ini menampilkan lagu tribute Silumanial Desecration, asalnya dipopularkan oleh As Sahar, figura yang dianggap sebagai nadi eastern metal Malaysia.

“Lagu ini penghormatan kepada figura yang banyak mencorakkan landskap eastern metal tempatan. Lebih mengujakan, vokalis asal, One Barchiel sendiri menyanyikan lagu ini, manakala kami bertindak sebagai pemuzik iringan.”ujar Earth ketika ditemui di Melaka baru-baru ini.

Selain itu, rakaman album ini turut dibantu sahabat seperjuangan dimana Ajit meminjamkan snare drum beliau, manakala Joe V. menyediakan tiga gitar untuk sesi rakaman, menambah lapisan keaslian dan kekuatan bunyi album.

Proses rakaman The Last Episode mengambil masa panjang, terjejas oleh PKP, tekanan ekonomi, dan komitmen menjaga ibu bapa yang uzur.

“Faktor terbesar adalah tanggungjawab menjaga orang tua masing-masing sehingga mereka kembali ke rahmatullah. Itu yang banyak melambatkan proses,” kata Earth.

Selain itu, sifat teliti Allahyarham Bob Agigi turut menambah tempoh produksi. Rakaman sering diulang demi memastikan kualiti maksimum, menjadikan album ini hasil kerja yang teliti dan mantap.

Mastering dilakukan sepenuhnya di Silversound Studio dengan bantuan Deadzid, dan versi penuh album siap pada awal November 2025. Kini, album ini akan diterbitkan secara fizikal oleh Astaka Arungan Distro di bawah kendalian Karl Urdz, dijangka dilancarkan pada bulan Syawal 2026.

Dari penubuhan sekitar 2004, Hidden Silence telah melalui perjalanan penuh cabaran, memperkukuh identiti mereka dalam skena ekstrem tempatan. The Last Episode bukan sekadar album malah ia adalah penutup cerita, penghormatan kepada pengorbanan, kehilangan, dan kenangan bersama Allahyarham Bob Agigi.

“Ini bukan sekadar album. Ini hadiah terakhir kami buat arwah Bob Agigi,” ujar Earth.

Dengan gabungan riff berat, solo memukau, dan vokal beremosi, album ini bukan hanya untuk peminat lama tetapi juga untuk generasi baru yang ingin mengenali nadi metal Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page