Vertical Horizon Kembali Gegar KL Selepas 12 Tahun
Selepas lebih sedekad menyepi dari pentas tempatan, kumpulan alternative rock popular dari Amerika Syarikat, Vertical Horizon bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert eksklusif yang dijadual berlangsung pada 22 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
Kehadiran semula band yang cukup sinonim dengan era kegemilangan muzik alternative rock akhir 1990-an dan awal 2000-an itu pastinya mengubat rindu peminat tempatan yang kali terakhir menyaksikan persembahan mereka di Malaysia pada 2014 yang telah berlangsung di KL Live.
Konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solutions itu dijangka menjadi malam penuh nostalgia apabila kumpulan berkenaan bakal mempersembahkan deretan lagu hit yang pernah mendominasi carta radio dunia.
Antara lagu yang pasti mencuri tumpuan peminat ialah Everything You Want, You’re a God dan Best I Ever Had (Grey Sky Morning), yang menjadi antara karya paling ikonik kumpulan itu.
Nama Vertical Horizon melonjak ke persada antarabangsa menerusi album Everything You Want yang mencapai status multi-platinum. Lagu judul album tersebut pula menjadi antara lagu paling kerap diputarkan di radio Amerika Syarikat pada tahun 2000 dan kekal sebagai karya klasik bagi peminat genre alternative rock sehingga hari ini.

Band ini diketuai vokalis dan gitaris utama, Matt Scannell, bersama barisan anggota lain iaitu John Wesley (gitar dan vokal latar), Ron LaVella (dram) serta Mark Pacificar (bass dan vokal latar).
Walaupun sudah lebih dua dekad berada dalam industri muzik, kumpulan itu masih aktif menjelajah dunia dan terus mempunyai pengikut setia dari pelbagai generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata pihaknya teruja dapat membawa semula kumpulan itu ke Malaysia selepas lebih 10 tahun.
“Vertical Horizon pernah membuat persembahan di Malaysia pada 2014 dan kami berbesar hati dapat menjadi penganjur yang membawa mereka kembali bertemu peminat tempatan.
“Di Hitman Group, kami sentiasa berusaha membawa artis antarabangsa dari pelbagai genre bagi memberikan pengalaman konsert bertaraf dunia kepada peminat muzik di Malaysia,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 26 Mac ini bermula jam 12 tengah hari menerusi laman web rasmi penganjur di www.hitmanlive.com.
Empat kategori tiket ditawarkan dengan harga bermula RM199 hingga RM309, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati persembahan bertenaga band yang pernah mewarnai era kegemilangan alternative rock dunia.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau e-mel ke concerts@hitman.group.
