March 4, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Perginya ‘X’ Damokis, Muhairi Abadi Dalam Sejarah Scene ‘Underground’

Spread the love

Oleh Jorn Seth Ov Metalwarpage

Arena muzik ekstrem tanah air menerima tamparan hebat apabila bekas pemain bass kumpulan Damokis, Muhairi, disahkan meninggal dunia pada 2 Mac lalu.

Pemergian figura penting dalam scene grindcore dan brutal death metal itu nyata meninggalkan kesan mendalam buat rakan seband, sahabat serta peminat muzik bawah tanah yang pernah menyaksikan sendiri energinya di pentas kecil sekitar Johor dan seluruh negara.

Muhairi dikenali sebagai antara tulang belakang Damokis band yang aktif sejak 1995 dan kekal menjadi nama besar dalam komuniti metal underground Malaysia.

Sebelum dikenali sebagai bassist, Allahyarham sebenarnya pernah memegang posisi pemain dram untuk band bawah tanah Johor, Argon pada awal 2000-an.

Namun, bakat dan jiwanya lebih menyerlah apabila beralih kepada gitar bass. Bersama Damokis, beliau bukan sahaja mengemudi bahagian ritma, malah turut menyumbang vokal latar yang memperkuatkan lagi karakter agresif band berkenaan.

Antara rilisan penting yang menampilkan sentuhan beliau termasuk Patak-Patak Bah… (split release), Optimist (EP), Widows & Orphans (split) dan Grinding Mother Whore (album)

Album Grinding Mother Whore khususnya terus dianggap antara karya penting dalam katalog muzik ekstrem tempatan, dengan permainan bass Muhairi menjadi nadi yang mengikat keseluruhan komposisi lagu.

Walaupun genre grindcore jarang mendapat tempat di arus perdana, Damokis berdiri teguh sebagai simbol ketahanan dan konsistensi scene bawah tanah.

Muhairi pula dikenang sebagai individu yang sentiasa komited sama ada di studio rakaman mahupun di pentas gig DIY. Rakan-rakan menggambarkannya sebagai insan merendah diri, mudah didekati dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

“Dia bukan sekadar pemain bass, dia jiwa kepada semangat perjuangan muzik kami,” antara luahan yang dikongsikan rakan terdekat dalam media sosial.

Berita pemergiannya mengundang gelombang ucapan takziah daripada komuniti metal tempatan. Ramai memuat naik gambar lama gig dan rakaman persembahan sebagai tanda penghormatan terakhir.

Walaupun jasadnya telah tiada, legasi Muhairi akan terus hidup dalam setiap dentuman bass yang pernah dirakam, setiap gig yang pernah digegarkan, dan setiap kenangan yang tercipta bersama Damokis.

Scene metal Johor kehilangan seorang pejuang. Namun namanya akan terus bergema dalam sejarah muzik ekstrem Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page