February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spread the love

Kumpulan popular tempatan, insomniacks, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Bersuara”, hasil kolaborasi bersama Yonnyboii. Lagu yang bakal dilancarkan pada 6 Februari ini menampilkan sisi lebih berani dan emosional, selain membawa mesej tentang keberanian menyuarakan perasaan serta mempertahankan harga diri.

Menurut insomniacks, “Bersuara” terhasil daripada pengalaman peribadi berkaitan perasaan tidak didengari dan tekanan emosi yang sering dipendam. Lagu tersebut mengangkat tema berdiri untuk diri sendiri, khususnya apabila berdepan dengan penindasan dan buli. Mereka turut menegaskan kepentingan mengenali nilai diri serta berani bersuara demi kesejahteraan emosi.

Dari sudut muzik, “Bersuara” memperlihatkan perubahan ketara apabila insomniacks tampil dengan bunyi yang lebih ‘heavy’ dan gritty, berbeza daripada identiti balada yang sinonim dengan mereka sebelum ini. Walaupun masih mengekalkan elemen emosi, lagu ini membuka ruang kepada eksplorasi muzik yang lebih tegas dan lantang sebagai satu perkembangan semula jadi dalam perjalanan seni mereka.

Kolaborasi bersama Yonnyboii pula disifatkan sebagai nadi utama kepada keseluruhan karya tersebut. Menurut insomniacks, Yonnyboii memainkan peranan penting dalam membentuk hook serta membawa energi mentah yang menjadikan lagu ini lebih hidup dan berkarakter.

Bagi Yonnyboii, “Bersuara” merupakan luahan peribadi yang dekat dengan pengalaman hidupnya. Katanya, lagu itu terhasil daripada perasaan tidak didengari oleh segelintir pihak, sekali gus menjadi medium untuk menyuarakan kesusahan yang dilalui. Menariknya, beliau turut menampilkan sisi vokal berteraskan rock dan alternatif, berbeza daripada gaya rap yang sinonim dengan namanya.

Yonnyboii turut menyifatkan proses kolaborasi bersama insomniacks sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bebas tekanan, selain berharap dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang. Secara peribadi, beliau menganggap lagu ini sebagai peringatan untuk tidak memendam perasaan kerana ia hanya akan membawa kesan yang lebih mendalam.

Melalui “Bersuara”, kedua-dua artis berharap lagu ini dapat menjadi ruang selamat kepada pendengar untuk meluahkan emosi serta sebagai peringatan tegas terhadap isu buli. Mereka menggesa masyarakat agar lebih berani mengekspresikan perasaan dan menghentikan sebarang bentuk penindasan.

Single “Bersuara” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 6 Februari 2026. Lagu ini ditulis dan digubah oleh Yonnyboii, Iqie, Danial dan Iskandar, serta diterbitkan oleh insomniacks, Yonnyboii dan Taja MUH.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page