February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Piche Kota Kembali dengan ‘Bahagia Lagi’, Balada Harapan Selepas Kehilangan

Spread the love

Penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Piche Kota, kembali mempertaruhkan karya terbaharunya menerusi single “Bahagia Lagi”, sebuah balada pop yang terus mengekalkan identitinya sebagai pengkarya lagu-lagu sarat emosi dan bertemakan percintaan.

“Bahagia Lagi” mengangkat kisah tentang harapan serta keinginan untuk menemukan semula kebahagiaan selepas melalui kehilangan cinta satu tema yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pendengar.

Sejak dilancarkan, lagu ini menerima sambutan luar biasa di Malaysia apabila berjaya tersenarai dalam carta Viral 50 – Malaysia dan Top Songs Malaysia di Spotify. Selain itu, ia turut mencatat jumlah tontonan harian yang tinggi di TikTok, sekali gus membuktikan penerimaan positif daripada pendengar tempatan.

Sebelum ini, pada Jun 2025, Piche Kota memperkenalkan single sulungnya “Pada Satu Cinta” hasil kolaborasi bersama komposer terkenal, Yovie Widianto. Untuk “Bahagia Lagi” pula, alumni Indonesian Idol musim ke-13 itu bekerjasama dengan Happy Andromeda dan Dimas Bokor dalam proses penulisan lagu.

“Bagi mereka yang pernah merasakan kehilangan cinta, pasti faham bagaimana rasanya ingin bahagia semula selepas melalui kesedihan. Secara keseluruhan, lagu ini menggambarkan perasaan itu,” jelas Piche Kota mengenai maksud di sebalik lirik lagu berkenaan.

Menurutnya lagi, lagu ini lahir daripada emosi yang mendalam sehingga akhirnya melahirkan harapan untuk kembali bahagia. “Kisah seperti ini sangat dekat dengan realiti percintaan, sebab itu liriknya terasa sangat jujur,” tambahnya.

Dari segi susunan muzik, “Bahagia Lagi” tampil dengan nuansa sendu menerusi tempo perlahan yang menjadi ciri khas pop balada. Kekuatan lirik yang mendalam digabungkan dengan karakter vokal unik Piche Kota menjadikan lagu ini sebuah pakej yang menyentuh perasaan.

Video muzik “Bahagia Lagi” pula hadir sebagai pelengkap emosi lagu, dihasilkan dalam konsep mini filem dengan jalan cerita yang menarik. Visualnya memperkuatkan penceritaan lirik secara menyeluruh. Video muzik ini diarahkan oleh Gustaf Weldy dan menjalani penggambaran di Beantown.

“Saya berharap lagu ini dapat menjadi penguat semangat dan seolah-olah runut bunyi untuk mereka yang sedang melalui situasi yang sama. Semoga juga lagu ini dapat diterima dan didengar oleh lebih ramai pencinta muzik,” kata Piche Kota.

Single “Bahagia Lagi” kini boleh didengarkan di semua platform digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page