Kedah Nite 2026 Bakal Himpunkan Anak Perantauan Termasuk Artis Dan Selebriti
Anak perantauan Kedah termasuk golongan artis, selebriti dan ahli sukan bakal dihimpunkan dalam satu majlis berprestij menerusi penganjuran Kedah Nite 2026 (Majlis Santapan Diraja) yang dijadual berlangsung di Matrade Hall, Kuala Lumpur pada 14 Februari ini.
Program sulung anjuran Persatuan Rantauan Warisan Kedah (Waris Kedah) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 800 anak watan Kedah yang menetap di perantauan sebagai usaha mengeratkan silaturahim serta menyatukan rakyat Kedah di bawah satu payung.
Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, berkata walaupun Kedah telah melahirkan beberapa nama besar dalam industri seni tanah air, pembabitan mereka sebelum ini tidak disusun secara tersusun menerusi sebuah organisasi khusus yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negeri.

“Program ini terbuka kepada sesiapa sahaja anak Kedah di perantauan termasuk selebriti dan ahli sukan tanpa sebarang halangan. Jika sambutannya menggalakkan, Kedah Nite berpotensi dijadikan acara tahunan dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat,” katanya pada sidang media pengumuman Kedah Nite 2026 di Bangunan Matrade, baru-baru ini.
Menurut Zaienal yang juga Pengerusi Penganjur, Kedah Nite 2026 menjadi titik permulaan kepada jaringan perniagaan serta kolaborasi strategik dalam kalangan anak watan Kedah, selari dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu melihat anak negeri kembali menyumbang khidmat bakti kepada tanah kelahiran.
“Kami mahu memperkasa identiti, warisan dan sumbangan anak Kedah terhadap pembangunan ekonomi dan negara, selain menjadikan majlis ini sebagai platform jangka panjang bagi pertukaran idea, kerjasama pelaburan dan inisiatif ekonomi sosial,” katanya.
Majlis itu mendapat tajaan penuh Kumpulan Weststar, dengan Pengarah Urusannya Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh kelahiran Kedah, sebagai penaung. Ia bakal diserikan dengan keberangkatan kerabat diraja Kedah serta jemputan kenamaan lain, bertemakan ‘black tie’ dan glamor, dan akan dihoskan oleh Maria Tunku Sabri.

Selain persembahan hiburan oleh artis dan pemuzik antarabangsa di bawah naungan Weststar, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah pengiktirafan khas kepada tokoh anak Kedah yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Pada sidang media itu, Zaienal memaklumkan yuran keahlian Waris Kedah ditetapkan serendah RM10 untuk ahli biasa dan RM300 bagi keahlian seumur hidup. Orang ramai yang ingin menghadiri majlis berkenaan boleh membuat RSVP sebelum 31 Januari dengan menghubungi nombor 011-5584 1957, manakala penyertaan selebriti adalah berdasarkan konsep ‘first come, first serve’.
Sidang media tersebut turut dihadiri beberapa artis dan selebriti kelahiran Kedah termasuk Zulkifli Ismail, Ezad Lazim, Asheed Def Gab C dan Maria Tunku Sabri, yang masing-masing menyuarakan sokongan dan harapan agar Kedah Nite 2026 menjadi pemangkin kepada penyatuan serta kesinambungan aktiviti anak perantauan Kedah pada masa hadapan.

