Irfan Haris Pilih Kejujuran Dalam Balada ‘Tolong’
Dalam dunia muzik yang sering dipacu oleh formula dan angka, Irfan Haris memilih untuk memulakan tahun 2026 dengan sesuatu yang jauh lebih peribadi sebuah doa yang dilagukan, sebuah rayuan yang lahir daripada rasa takut kehilangan.
Single terbaharunya, “Tolong”, bukan sekadar balada biasa. Ia adalah luahan jiwa tentang cinta, kebergantungan dan keberanian untuk mengakui bahawa manusia tidak sentiasa kuat. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini menandakan satu fasa kematangan Irfan sebagai penyanyi yang semakin yakin berdiri atas kejujuran emosinya sendiri.
Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, duet bersama kakaknya Amira Othman yang mencatat hampir empat juta tontonan di YouTube, Irfan sedar jangkaan terhadap karya seterusnya bukan kecil. Namun, daripada mengulang formula selamat, beliau memilih untuk mengambil risiko memperlahankan langkah dan membiarkan perasaan memimpin.
“Tolong” hadir tanpa helah dramatik. Susunan muzik oleh Wan Saleh disusun kemas dan sederhana, memberi ruang kepada vokal dan lirik untuk berbicara. Melodi serta lirik hasil ciptaan Dr. Syafiq Rashid pula ditulis dengan bahasa yang ringkas, tetapi menikam rasa.
“Melodi dan liriknya sangat dekat dengan apa yang saya rasa. Ia tidak rumit, tetapi jujur. Itu yang membuatkan lagu ini senang untuk saya sampaikan,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Pendekatan ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara Irfan melihat muzik bukan lagi tentang menunjukkan kebolehan vokal semata-mata, tetapi tentang keberanian membuka ruang emosi kepada pendengar.
Menurut Dr. Syafiq Rashid, pemilihan perkataan “tolong” sebagai judul bukan dibuat secara kebetulan.
“‘Tolong’ adalah satu ekspresi yang sangat manusiawi. Ia membawa maksud rayuan, harapan dan kebergantungan. Lagu ini bergerak di antara rasa takut kehilangan dan keperluan terhadap insan yang kita sayangi,” jelasnya.
Lagu ini bukan tentang kelemahan, sebaliknya keberanian untuk merendahkan ego mengakui bahawa dalam hubungan, ada kalanya kita perlu meminta dan berharap.
Dari sudut penulisan, “Tolong” turut diinspirasikan oleh pengalaman sebenar yang diperkukuhkan secara emosi. Trauma kehilangan yang pernah berlaku menjadi benih kepada lirik yang sarat dengan rasa takut ditinggalkan, sekali gus menjadikan lagu ini dekat dengan realiti kehidupan ramai.
Walaupun “Tolong” boleh ditafsirkan dalam pelbagai konteks hubungan, bagi Irfan sendiri, emosi lagu ini sangat terikat dengan keluarga, terutamanya ibu dan bapanya.

“Saya tidak boleh bayangkan hidup saya tanpa mereka. Saya letakkan perspektif itu untuk mendapatkan emosi sebenar ketika menyanyikan lagu ini,” katanya.
Baris lirik “Jangan lepaskan walau cuma sedetik” menjadi refleksi kasih sayang Irfan terhadap keluarganya cinta yang tidak bersyarat, jarang diungkap, tetapi sentiasa menjadi tunjang kekuatan dalam kehidupannya.

Menariknya, “Tolong” tidak dibina untuk menonjolkan vokal tinggi atau teknik yang kompleks. Sebaliknya, Irfan memilih pendekatan minimalis, membiarkan emosi menjadi teras utama.
“Saya tidak kejar vokal tinggi. Saya hanya mahu sampaikan emosi yang raw. Bila pendengar boleh rasa apa yang saya rasa, itu lebih mahal daripada apa-apa teknik,” ujarnya.
Pendekatan ini menyerlahkan kematangan seorang penyanyi yang memahami bahawa keikhlasan sering kali lebih berkesan daripada persembahan yang berlebihan.
Mengakui wujud tekanan selepas kejayaan single terdahulu, Irfan memilih untuk tidak tunduk kepada perbandingan.
“Saya ambil risiko untuk buat sesuatu yang berbeza. Saya tidak mahu lagu ini dibandingkan dengan karya sebelum ini,” katanya.
Keputusan tersebut membuktikan kesediaan Irfan untuk terus berkembang, bereksperimen dan mempercayai naluri seninya sendiri satu sifat yang penting bagi seorang artis yang mahu bertahan lama dalam industri.
“Hargailah insan tersayang selagi mereka masih ada. Kadang-kadang, cinta yang paling besar hadir dalam bentuk yang paling sederhana,” katanya.
Single “Tolong” nyanyian Irfan Haris kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube, sekali gus menjadi pembuka tirai tahun 2026 yang jujur, tenang dan sarat makna dalam perjalanan seni seorang Irfan Haris.
