Tiga Dram, Satu Amukan: Barbarik ‘Sedia’ Gegar Pentas Vol. 2
Barbarik Janjikan Pengalaman Berbeza Dengan Susunan Muzik Lebih Agresif Dan Bertenaga
Kumpulan Barbarik, mengumumkan penganjuran Konsert Pentas Barbarik Volume 2 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 31 Januari 2026, selepas lokasi asal yang diumumkan sebelum ini ditukar susulan insiden kekecohan konsert terdahulu.
Pemilihan venue berhawa dingin yang mampu menampung kira-kira 5,000 penonton itu dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan keselesaan peminat, selain menjadi simbol kesungguhan Barbarik dalam menjaga reputasi serta hubungan erat bersama penyokong setia mereka.

Lebih menarik Barbarik turut menjanjikan fenomena yang jarang berlaku di atas sebuah pentas, dimana Black, Jojet dan Ainol ‘berentam’ pada satu masa, satu pentas satu konsep yang jarang dipersembahkan dalam konsert muzik tempatan, sekali gus menjanjikan dentuman lebih tebal, agresif dan bertenaga buat peminat setia Barbarik.
Pemain gitar Barbarik, Jo Branko, menyifatkan keputusan menampilkan tiga dram serentak sebagai simbol kematangan dan keberanian kumpulan itu dalam meneroka dimensi persembahan lebih ekstrem.
“Kali ini memang lain macam. Tiga drummer naik pentas serentak, satu masa, satu pentas. Dengan venue lebih besar, bunyi akan jadi lebih ‘hidup’, lebih padu dan lebih ganas,” katanya.
Selain pemilihan Mega Star Arena yang mampu menampung kira-kira 5,000 penonton turut memainkan peranan penting bagi memastikan kualiti bunyi dan keselesaan penonton berada pada tahap optimum buat ‘Rejim Barbarik’.

“Venue ini membolehkan susunan bunyi lebih kemas. Dengan tiga dram dimainkan serentak, peminat akan betul-betul rasa getaran dan tenaga sebenar Barbarik,” ujarnya.
Konsert Pentas Barbarik Vol. 2 turut dirancang berlangsung selama dua jam 30 minit, dengan 30 peratus kelainan dalam repertoir lagu, termasuk susunan baharu yang disesuaikan dengan konsep tiga dram bagi mencipta pengalaman muzik yang lebih dinamik.
Selain aksi tiga dram yang menjadi teras utama persembahan, konsert ini turut mengekalkan barisan pemuzik berkaliber seperti Eddie, Mel dan Jojet, serta penampilan khas Karl Cromok, yang dijangka menambah elemen magis dan legenda di atas pentas.

“Kami mahu peminat pulang dengan pengalaman berbeza. Bukan sekadar menonton konsert, tetapi merasai satu perjalanan muzik yang ada cerita untuk dibawa pulang,” kata Jo Branko.
Penganjuran Pentas Barbarik Vol. 2 juga dilihat sebagai manifestasi kesungguhan Barbarik dan pihak penganjur dalam memastikan persembahan berskala besar yang lebih tersusun, berkualiti serta bebas daripada isu penjualan tiket berlebihan yang pernah berlaku sebelum ini.
Dengan kombinasi tiga dram serentak, venue lebih besar dan produksi lebih mantap, Pentas Barbarik Vol. 2 dijangka menjadi antara persembahan metal tempatan paling brutal dan epik untuk pembuka tirai 2026.
Jo Branko turut menyifatkan bahawa penganjuran Pentas Barbarik Vol. 2 bukanlah usaha menutup kekhilafan lalu, sebaliknya sudah lama berada dalam perancangan kumpulan itu.
“Penganjuran konsert ini bukan bermaksud kami mahu menutup kekecohan yang berlaku sebelum ini, tetapi ia sebenarnya sudah lama dalam agenda kami. Namun, disebabkan insiden yang berlaku, Barbarik mengambil tanggungjawab penuh dalam menjaga reputasi dengan peminat yang memberi sokongan luar biasa,” katanya.
Menurut Jo Branko, konsert kali ini akan menjadi hadiah istimewa buat peminat yang tidak berpeluang menyaksikan Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember lalu, dengan persembahan dirancang selama dua jam 30 minit.
“Pentas Barbarik Vol. 2 adalah tanda kesungguhan kami untuk memberi persembahan terbaik dan pada masa sama memberi jaminan tidak akan berlaku lagi isu penjualan tiket berlebihan,” katanya ketika sidang media di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, 17 Disember lalu.
Lebih menarik, konsert ini bakal menampilkan 30 peratus repertoir berbeza, termasuk susunan lagu baharu serta kemunculan khas Karl Cromok, yang disifatkan mampu menghangatkan ‘pertempuran’ di atas pentas.
“Kami mahu peminat pulang dengan pengalaman berbeza, bukan sekadar menonton persembahan yang berulang seperti kaset atau platform penstriman,” ujarnya lagi.
Selain Karl, Pentas Barbarik Vol. 2 turut mengekalkan barisan pemuzik hebat seperti Eddie, Black, Mel dan Jojet, sekali gus menggabungkan tenaga pemuzik berpengalaman dan generasi baharu dalam satu pentas berskala besar.
Dalam perkembangan paling mencuri perhatian, Jo Branko turut mengumumkan kejutan istimewa apabila tiga pemain dram Black, Jojet dan Ainol akan naik pentas serentak, mencipta dimensi bunyi lebih tebal dan dentuman lebih padu.

“Kali ini lain macam sikit. Tiga drummer, satu masa, satu pentas. Dengan venue lebih besar, bunyi juga akan jadi lebih ‘berisi’. Siapa yang tak datang kali ini, memang rugi,” katanya.
Sementara itu, pihak penganjur Republic Mokhmah Records (RMR) menegaskan penganjuran Pentas Barbarik Vol. 2 bukan bertujuan mengambil kesempatan atas insiden lalu, sebaliknya menjadi medan kebangkitan Barbarik dengan penganjuran lebih tersusun dan berintegriti.
“Kami akan sedaya upaya mengelak penjualan tiket tidak sah atau berlebihan yang boleh menjejaskan reputasi Barbarik dan industri penganjuran konsert tempatan,” kata wakil RMR, Abdul Musa Haji Mokhtar.

Tiket dijual dalam beberapa kategori bermula RM138 (General Admission), RM168 (Rockzone – berdiri), RM268 (Normal – duduk), RM368 (VIP – duduk) serta RM1,500 (Grand VIP – Couple Seat).
Penjualan tiket bermula 18 Disember 2025, jam 12 tengah hari menerusi platform dalam talian www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2.
