December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Borneo Metal Titans Gegarkan Sarawak

Spread the love

Penganjuran gig Borneo Metal Titans di 13 Box Karaoke & Café MJC pada Sabtu lalu membuktikan bahawa scene metal di Borneo terus hidup dan berkembang apabila venue berkeluasan terhad itu dipadatkan hampir 100 peminat muzik ekstrem, sehingga ruang hampir tidak lagi mampu menampung kehadiran yang membanjiri lokasi tersebut. Acara yang dianjurkan oleh Midlife Crisis Apai Urang bersama Restwell Extreme Chapter ini berjaya melaksanakan janji mereka – sebuah malam perayaan metal yang keras, jujur, dan benar-benar menggegarkan.

Barisan kumpulan yang beraksi mewakili variasi wajah metal Borneo, dengan majoriti kumpulan dari Sarawak dibarisi oleh dua kumpulan antarabangsa dari Kalimantan Barat, Indonesia: Privlegia dan Abgal. Penganjur menyatakan dalam hantaran Facebook mereka bahawa set yang tersusun sepanjang malam menjadikan aliran tenaga tidak pernah menurun walaupun venue kecil menjadikan suasana semakin padat dan hangat.

Malam dibuka oleh Vaxxinated dari Serian, yang terus menendang pintu persembahan dengan crossover thrash pantas serta agresif. Riff ligat dan sentuhan punk yang lantang memanaskan lantai gig sejak awal lagi dan membuktikan Serian turut melahirkan bakat keras yang tidak bermain-main. Rotting Century dari Kuching kemudian mengambil alih dengan death metal gelap yang lebih berat dan atmosfera, mengubah mood gig kepada sesuatu yang lebih garang dan mencekam — growl dalam, hentakan tepat dan riff muram memberikan karakter old-school yang memenuhi kehendak peminat moshpit.

Kegarangan terus melonjak apabila Severe Bleeding memuntahkan brutal death metal yang padat, kejam dan cukup menghentam. Slamming riff dan dram berpeluru mereka menjadi antara saat paling ekstrem dalam acara ini. Malah, kelibat vokalisnya sempat mencuri perhatian dengan komen seloroh peminat yang menganggapnya mirip Depha dari Masterpiece. Militant Attack terus menyambung kemarahan pentas dengan thrash deras sarat kekecohan — riff tajam, persembahan yakin dan suasana kacau yang mengingatkan kembali kepada zaman kegemilangan Bay Area, namun dengan nafas baharu yang tidak sekadar meniru. Sorakan spontan daripada crowd jelas menjadi bukti mereka menguasai pentas.

Privlegia dari Pontianak kemudian mengubah rentak dengan groove death metal yang padat namun mudah dihadam. Vokal wanita yang mengemudi persembahan memberi kelainan tersendiri dan groove berat yang dicanang mereka cepat menangkap perhatian penonton. Mereka menjadi antara set paling “crowd-friendly” malam tersebut dan pada masa sama mencerminkan eratnya hubungan scene Kalimantan–Sarawak. Seterusnya, Larrong dari kawasan Unholy Triangle tampil sebagai antara identiti kemegahan metal Borneo. Mereka memadukan elemen melodi keTimuran ke dalam rangka death metal tanpa menghilangkan kekejaman genre tersebut. Persembahan mereka membuktikan bahawa budaya tempatan tidak sekadar boleh diserap, bahkan boleh menjadi tulang belakang kepada muzik ekstrem yang mempunyai identiti.

Sebagai penutup, Abgal dari Sintang turun dengan keyakinan penuh sebagai headliner dan membuktikan kedudukan mereka bukan sekadar simbolik. Persembahan yang ketat, vokal garang yang konsisten serta groove berat yang memaku perhatian membuatkan crowd inginkan lebih. Sorakan encore bergema kuat dan menjadi tanda jelas bahawa penutup malam itu benar-benar mengena dan memuaskan dahaga peminat yang hadir.

Dalam ucapan penghargaan selepas acara, kedua-dua penganjur menyatakan rasa terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan malam tersebut, kepada setiap kumpulan yang memberikan komitmen tanpa kompromi serta kepada 13 Box Karaoke & Café MJC kerana menyediakan ruang terbaik untuk menjayakan gig itu. Mereka juga mengiktiraf usaha kru yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan acara berjalan selancar mungkin. Midlife Crisis Apai Urang turut menyampaikan penghargaan khas kepada rakan teknikal Martin Macmin atau Wam, selain menyebut rakan media serta grafik yang membantu membentuk identiti acara ini.

Borneo Metal Titans meninggalkan kesan jelas bahawa komuniti metal serantau sedang berkembang, semakin terhubung dan semakin berani untuk melangkah lebih jauh. Apa yang berlaku di MJC bukan sekadar sebuah gig — ia sebuah pernyataan bahawa metal di Borneo tidak akan mati, semakin kuat, dan akan kembali dengan gegaran yang lebih besar. Penganjur sudah pun membayangkan kesinambungan acara ini pada tahun hadapan, dan melihat kepada sambutan tepu malam tersebut, para peminat jelas menuntut lebih. Agi idup, agi metal.



Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page