Kumbang Bunga: Siti Nurhaliza & Lesti Satukan Dua Jiwa Nusantara Dalam Irama Tradisional Moden

Kolaborasi Ikonik Dua Negara Serumpun Cipta Harmoni Dalam Satu Lagu Penuh Makna
Dunia muzik Nusantara kembali bersinar apabila dua nama besar, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Lesti dari Indonesia, bersatu dalam sebuah karya istimewa berjudul Kumbang Bunga, lagu yang menjadi simbol persahabatan dan keharmonian dua negara serumpun melalui bahasa muzik.
Single ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi taruhan pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza, mempersembahkan gabungan tiga elemen irama tradisional inang, dangdut dan masri dalam adunan moden yang segar dan memikat.
Menurut Siti, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik pertama kali mendengarnya dan segera mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan gaya muzik Lesti, diselitkan dalam gubahan akhir lagu ini.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti akhirnya terlaksana. Inilah waktu yang tepat untuk kami bergabung dalam lagu berkonsepkan tradisional yang mengangkat keindahan warisan muzik Melayu,” ujar Siti dengan penuh semangat.
Beliau turut menambah bahawa muzik mempunyai kuasa luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa dan budaya.
“Saya berharap Kumbang Bunga bukan hanya diterima di Malaysia dan Indonesia, tetapi juga mampu menembusi pasaran serantau lain yang menghargai muzik berteraskan warisan,” katanya.
Sementara itu, Lesti turut meluahkan rasa terharu dapat bekerjasama dengan penyanyi lagenda Malaysia itu.

“Saya berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza atas kesempatan ini. Lagu ini sangat indah, dan saya yakin peminat kami di kedua-dua negara sudah lama menantikan momen seperti ini,” katanya.
Komposer Firdaus Rahmat pula mendedahkan bahawa proses penciptaan lagu ini hanya mengambil masa dua hari untuk disiapkan.
“Kami ingin menonjolkan keunikan vokal dua penyanyi besar ini dalam irama tradisional moden yang mudah diterima oleh generasi hari ini,” jelasnya.
Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. Lagu ini boleh didengarkan di semua pelantar digital bermula 22 Oktober 2025, manakala video muzik rasmi ditayangkan pada jam 3.00 petang hari yang sama, memperlihatkan keindahan dua suara besar Nusantara berpadu dalam satu karya yang sarat makna dan nilai budaya.