Rabbit Mac Gegar Hollywood Dengan Single Terbaru “Watch Me”

Ikon hip-hop Malaysia, Rabbit Mac kembali dengan penuh gaya apabila single terbarunya, Watch Me, dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk filem Hollywood terbaru, American Warrior. Filem arahan Gustavo Martin ini menampilkan bintang seperti Danny Trejo, Veronica Falcón, dan penampilan sulung Vishy Ayyar.
Lagu Watch Me, ciptaan dan terbitan penuh Rabbit Mac sendiri, turut menampilkan kolaborasi dengan Amore Jones dan Vish Iyer. Digarap dengan nuansa rap mentah bercampur produksi sinematik, single ini membawa mesej ketabahan, penantian, dan kebangkitan semula — selaras dengan semangat perjuangan dalam American Warrior.
“Watch Me adalah tentang penantian, ketabahan, dan sebuah comeback yang penuh power. Pada intinya, ia adalah satu deklarasi: tiada kebencian, diskriminasi, atau penghakiman yang mampu menghentikan kebangkitan ini,” kata Rabbit Mac yang kembali selepas berehat hampir lima tahun daripada muzik.
Bermula dari gelanggang hip-hop underground Malaysia, Rabbit Mac kini muncul sebagai antara suara rap paling berpengaruh di rantau Asia Tenggara. Gabungan rap, R&B, serta gaya produksi yang unik menjadikan beliau dikenali melalui lagu-lagu popular seperti Kukubee, Yejamaa, Muax dan Nalla Paatu. Koleksi video muziknya telah meraih jutaan tontonan dalam talian, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara rapper bebas paling banyak distrim di Malaysia.
Selain kejayaan komersial, Rabbit Mac turut dikenali sebagai komposer dan penerbit prolifik yang menghasilkan pelbagai runut bunyi filem, di samping membentuk identiti hip-hop bebas di rantau ini.
Digambarkan sebagai rap anthem penuh emosi, Watch Me menyelami tema keresahan, kesepian, pengabaian dan tekanan masyarakat, namun pada masa sama menyalurkan mesej keazaman untuk terus melangkah. “Setiap baris dalam Watch Me direka untuk membangkitkan semangat – ia berani, ia penuh tenaga. Inilah lagu yang sesuai dimainkan bila anda sedang mengejar sesuatu impian atau perlukan dorongan untuk mara ke hadapan dengan penuh kuasa,” tambah Rabbit Mac.

Kolaborasi bersama Amore Jones dan Vish Iyer menambah lapisan emosi dan tenaga sinematik pada lagu ini, menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk filem aksi tetapi juga sebagai inspirasi buat pendengar global.
Menjadi sebahagian daripada runut bunyi filem Hollywood, Rabbit Mac melihat pencapaian ini sebagai bukan sahaja kemenangan peribadi, tetapi juga satu batu loncatan untuk industri muzik Malaysia di mata dunia.
“Menjadi sebahagian daripada runut bunyi filem Amerika adalah detik yang membanggakan. Saya berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk artis Malaysia melangkah ke pentas global,” ujarnya penuh harapan.
Watch Me kini boleh distrim di semua platform digital utama.