March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rumah Tanpa Luka: Pertembungan ‘Green Flag’ Shukri Yahya & ‘Red Flag’ Nadhir Nasar

Spread the love

Sebuah lagi drama penuh emosi yang menyentuh isu masyarakat kini menghiasi kaca televisyen. Rumah Tanpa Luka, terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios, mula ditayangkan di Astro Ria pada 1 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, serta turut distrim menerusi Astro Go dan Sooka.

Menariknya, drama arahan Nur Ain Sharif ini bukan sekadar kisah cinta klise, tetapi mengetengahkan tema berat seperti penolakan terhadap anak istimewa (Down Syndrome) dan pengorbanan seorang anak perempuan sulung yang menggalas tanggungjawab besar sebagai tulang belakang keluarga.

Lebih istimewa, Rumah Tanpa Luka menjadi gandingan pertama antara Erysha Emyra, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar, dengan kehadiran pelakon cilik istimewa, Naura Arissa, yang memegang watak Rose Ameena.

Drama ini turut memperlihatkan dua sisi lelaki yang bertentangan, digambarkan sebagai “green flag” dan “red flag” oleh penonton.

Shukri Yahya membawakan watak Qiuzi (Q), seorang mekanik humble yang memiliki lima buah bengkel kereta. Walaupun berjaya, Qiuzi hidup bersederhana dan sentiasa rendah diri.

“Biasanya penonton terbiasa dengan watak suami curang atau panas baran, tapi kali ini saya bawa karakter lelaki yang ramai perempuan impikan. Qiuzi seorang yang setia, down to earth, dan kehadirannya memberi ketenangan. Inilah lelaki green flag yang mungkin wujud atau mungkin tidak dalam dunia nyata,” kata Shukri.

Berbeza dengan Nadhir Nasar yang memegang watak Hayden Hayyan, seorang lelaki penuh misteri yang sering dilabel penonton sebagai ‘red flag’. Namun bagi Nadhir, watak ini jauh lebih kompleks.

“Saya pun pelik bila orang anggap Hayden Hayyan ini red flag, sedangkan dia sebenarnya sangat bertanggungjawab. Dia anak mak, dan kerana itulah perangainya begitu. Cabarannya, saya perlu kawal emosi dari episod ke episod kerana wataknya penuh roller coaster – ada ketika marah, ada ketika lembut,” jelas Nadhir.

Selain dua watak utama lelaki ini, penonton pasti tersentuh dengan lakonan Naura Arissa sebagai Rose Ameena, kanak-kanak Down Syndrome yang tidak diingini keluarganya. Walaupun dianggap sial, Rose sebenarnya berjiwa besar dan hanya ditemani seorang sahabat baik bernama Dewi.

Bagi Shukri, pengalaman berlakon dengan Naura begitu berharga.
“Mula-mula saya sangka susah, tetapi sebenarnya mudah sebab dia sangat memberi. Yang penting kita jangan buat dia takut. Seronok bekerja dengan anak istimewa seperti Naura,” katanya.

Nadhir turut berkongsi pengalaman yang sama:
“Dia sangat bijak di set. Bila sudah kenal kita, dia tahu bila masa untuk action dan cut. Sebenarnya bukan cabaran, tetapi satu berkat buat kami semua,” ujarnya.

Dalam kepayahan hidup, Kalsum (Erysha Emyra) tetap setia menjaga adiknya Rose Ameena biarpun dibuang keluarga. Kehadiran Qiuzi (Shukri Yahya) memberi sinar harapan baharu dalam hidupnya. Namun, semuanya mula berubah dengan kemunculan semula Hayden Hayyan (Nadhir Nasar) yang menguji ketabahan mereka.

Rumah Tanpa Luka bukan sekadar kisah cinta. Ia mengangkat isu penolakan anak istimewa, pengorbanan seorang kakak, serta dilema memilih lelaki green flag atau red flag.

Pendek kata, drama ini ibarat cermin yang memaparkan dilema masyarakat hari ini dalam bentuk cerita penuh emosi.

Jadi, kalau anda nak menangis, marah, geram, tetapi pada masa yang sama tersenyum kerana kehadiran lelaki green flag idaman, Rumah Tanpa Luka wajib masuk senarai tontonan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page