January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Search dan XPDC Bersatu Dalam Konsert Fenomena Samurai di Kuching

Spread the love

Dua kugiran legenda tanah air yang masing-masing membawa identiti tersendiri bakal bersatu dalam sebuah konsert bersejarah, Konsert Fenomena Samurai, yang dijadual berlangsung di Stadium Sarawak pada 13 Disember 2025.

Walaupun hanya disebut perkataan Fenomena dan Samurai, peminat setia muzik tempatan pasti dapat meneka dua nama besar tersebut iaitu Search dan XPDC – gabungan yang dijangka mencetuskan keterujaan luar biasa di kalangan penggemar muzik rock tanah air.

Barisan anggota XPDC terdiri daripada Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu, manakala Search tampil dengan gandingan hebat Din dan Kid yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Gabungan tenaga dua kumpulan ini diyakini akan menjadikan Konsert Fenomena Samurai sebuah malam epik buat peminat.

Menurut penganjur bersama, Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event, konsert ini dirancang dengan penuh teliti kerana tidak mahu ia menjadi persembahan biasa semata-mata.

“Siapa yang tidak kenal Search dan siapa yang tidak kenal XPDC? Kedua-duanya adalah gergasi muzik tanah air. Muzik dan penampilan mereka sejak era 80-an masih relevan hingga kini, dengan kelompok peminat yang semakin berkembang dari generasi ke generasi.

“Justeru, kualiti konsert adalah keutamaan kami. Kami tidak akan berkompromi terhadap kredibiliti Search dan XPDC. Konsert ini mempunyai piawaian tersendiri dari segi pemilihan muzik, bunyi dan persembahan,” kata Ikhram atau Atom, wakil penganjur.

Bagi pihak Search, Din menyifatkan konsert ini bukan sekadar pentas nostalgia, sebaliknya simbol apresiasi kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan Search dan XPDC yang penuh cabaran.

“Konsert Fenomena Samurai bukan hanya sekadar hiburan untuk mendengar lagu-lagu kami. Ia adalah cerminan kecintaan dan perjuangan yang telah lama kami lalui bersama peminat,” katanya.

Tiket ‘early bird’ telah mula dijual bermula 5 September 2025 jam 10 pagi dengan harga RM250 (VIP), RM188 (MOSH), RM104 (Free Standing), RM160 (Silver) dan RM90 (Bronze). Selepas itu, harga tiket normal adalah RM359 (VIP), RM269 (MOSH), RM149 (Free Standing), RM229 (Silver) dan RM129 (Bronze).

Pembelian boleh dibuat secara dalam talian melalui fenomenasamurai.ubertickets.asia.

Konsert ini turut mendapat sokongan Rampage Studioworks selaku rakan strategik serta Yellowhello sebagai rakan penaja.

Bagi peminat tegar Search dan XPDC, inilah peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah – kerana di sinilah gelombang fenomena bakal tercipta.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page