Konsert Tipe-X Live Di Malaysia Kini Diumum

Tipe-X, band ska legenda dari Indonesia, bakal menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert istimewa bertajuk “SkaLut Party” Live in Malaysia. Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, acara ini dijadual berlangsung pada 2 Ogos 2025, bermula jam 8.30 malam di Jiospace, Petaling Jaya, Selangor.
Tiket mula dijual pada 20 Mei 2025 menerusi laman web www.myticketempire.com. Buat peminat setia muzik ska, inilah peluang keemasan untuk merasai sendiri kehangatan dan semangat yang dibawakan oleh Tipe-X secara langsung.
Sejak penubuhannya pada tahun 1995 di Jakarta, Tipe-X telah menjadi nama besar dalam arena muzik ska rantau ini. Dianggotai oleh Tresno Riadi (vokal), Micky (bass), Yoss (gitar), Arie Hardjo (dram), Billy (gitar), dan Anto (trombon), mereka telah menghasilkan tujuh album studio dan satu album kompilasi. Antara lagu-lagu yang telah mengukir nama mereka termasuk “Genit”, “Salam Rindu”, “Selamat Jalan”, “Sakit Hati”, “Mawar Hitam”, “Kamu Ngga Sendirian”, “Angan”, dan “Song From Distance”. Lagu-lagu ini bukan sahaja mendapat tempat di hati peminat Indonesia, malah turut digemari oleh pendengar muzik ska di Malaysia.

Konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh dengan nostalgia, tenaga dan hiburan tanpa henti. Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga satu pertemuan istimewa antara peminat dan band yang telah menemani perjalanan hidup ramai dengan karya mereka. Buat anda yang pernah berska bersama Tipe-X di corong radio atau dalam gig-gig terdahulu, inilah masa untuk hidupkan kembali memori itu secara langsung. Bagi yang belum pernah menyaksikan mereka secara langsung, ini adalah pengalaman yang tidak patut dilepaskan.
Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Tipe-X di Malaysia. Ajak rakan-rakan, kosongkan jadual anda dan simpan tenaga untuk malam yang pasti akan dikenang. Berska kita habis-habisan bersama Tipe-X. Jumpa di Jiospace!