April 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dari Vienna ke Kuala Lumpur, Yundi Li Bawa Roh Mozart ke DFP” Menerusi “Yundi Plays Mozart”

Spread the love

Tiket Akan Mula Dijual Pada 25 April Bermula Jam 12 Tengahari

Malam yang dinanti. Muzik yang abadi. Maestro yang kembali menyentuh jiwa.

Setelah lebih sedekad penantian sunyi, akhirnya peminat muzik klasik di Malaysia akan kembali disapa oleh magis jari-jemari Yundi Li, maestro piano yang namanya sinonim dengan keanggunan seni dan ketulenan emosi. Dalam siri jelajah dunia terbaharunya bertajuk “Yundi Plays Mozart: The Sonatas Project 1”, Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi istimewa — dan pentasnya tidak lain tidak bukan, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada Selasa, 24 Jun 2025.

“Muzik Mozart itu suci, pelbagai dan murni,” ujar Yundi — satu pernyataan yang datang bukan dari seorang pemain piano semata, tetapi daripada jiwa yang telah bernafas bersama muzik sejak usia tujuh tahun.

Dalam projek ini, Yundi bukan sekadar memainkan nota; beliau menafsirkan roh Mozart, menyampaikan getar batin melalui setiap sonata yang mengalun. Siri jelajah ini telah memukau pendengar dari Vienna ke Paris, dari Berlin ke Munich, dan kini — giliran Kuala Lumpur pula untuk merasai keajaiban yang sama.

Yundi Li, yang dikenali sebagai pemenang termuda Pertandingan Piano Antarabangsa Chopin, bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pemain piano pertama dari China yang memenangi pertandingan berprestij itu, malah merupakan artis China pertama yang menandatangani kontrak bersama label klasik terkemuka, Deutsche Grammophon. Sepanjang lebih 25 tahun dalam dunia muzik, Yundi kekal sebagai figura utama yang terus menjulang seni permainan piano ke persada antarabangsa.

“Saya telah terpikat dengan muzik Mozart sejak berusia tujuh tahun,” katanya. Projek ini turut membawa Yundi kembali ke Mozart Hall di Salzburg untuk sesi rakaman album khas yang telah dilancarkan tahun lalu.

Dengan persembahan yang telah memukau penonton di pentas-pentas ikonik dunia seperti Musikverein Vienna, Sydney Opera House dan Carnegie Hall di New York, kehadiran Yundi di Malaysia kali ini dijangka menjadi peristiwa penting dalam kalendar muzik klasik negara.

Untuk rekod, Yundi Li merupakan pemain piano klasik terkemuka dunia dari China. Beliau mencipta sejarah apabila memenangi Pertandingan Piano Antarabangsa Chopin pada usia 18 tahun, menjadikannya pemenang termuda dalam sejarah pertandingan tersebut. Sejak itu, beliau telah tampil di pentas-pentas ternama dunia termasuk Musikverein Vienna, Sydney Opera House dan Carnegie Hall New York.

Tiket kini boleh didapati menerusi laman rasmi Dewan Filharmonik PETRONAS: https://www.dfp.com.my/yundi-plays-mozart-the-sonatas-project-1

Harga tiket adalah seperti berikut: SUITE A: RM788 **, PREMIUM A: RM778 **, SUITE B: RM688, PREMIUM B: RM588, A RESERVE: RM488, B RESERVE: RM388 dan C RESERVE: RM288

Nota: Peminat yang membeli dua tiket atau lebih kategori SUITE A berpeluang menerima hadiah edisi terhad (tidak dijual kepada umum). Hanya 50 set disediakan, berdasarkan siapa cepat dia dapat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page