Lagu Dari Seluloid VOLUME 2: Usaha Melestarikan Muzik Filem Melayu Klasik

Lagu Dari Seluloid VOLUME 2, sebuah projek pengarkiban dan pendigitalan lagu-lagu dari filem Melayu klasik era 1950-an, telah dilancarkan oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade. Projek ini bertujuan memastikan warisan muzik filem Melayu dapat terus diakses oleh generasi kini dan akan datang.
Sebanyak 10 lagu dari filem Melayu yang diterbitkan antara tahun 1950 hingga 1959 dipilih untuk projek ini, termasuk Merpati Dua Sejoli (filem Bakti, 1950), Tiada Kata Secantik Bahasa (filem Anakku Sazali, 1956), dan Nak Dara Rindu (filem Bujang Lapok, 1957). Barisan penyanyi yang terlibat dalam projek ini termasuk Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie, dan Idris Brown, dengan nyanyian dalam bentuk solo dan duet.

Menurut Pengarah Urusan Mac Training Centre, Puan Samirah Hambali, kesinambungan projek ini dilaksanakan atas kesedaran mengenai kepentingan mengarkibkan skor muzik dan rakaman semula lagu-lagu klasik secara digital.
“Terima kasih kepada Yayasan Hasanah yang terus mempercayai usaha ini. Projek ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk dokumentasi sejarah yang amat berharga bagi industri muzik dan filem kita,” katanya.

Pengarah projek merangkap pengarah muzik, Shamsul Cairel, pula berkongsi cabaran dalam melaksanakan projek ini, terutama dalam mendapatkan bahan rujukan untuk lagu tertentu. “Misalnya, filem Bakti tidak mempunyai salinan seluloid yang lengkap, jadi kami terpaksa menggunakan klip yang dimuat naik peminat filem lama di media sosial sebagai rujukan untuk skor muziknya,” jelasnya.
Bagi memastikan ketepatan sejarah lagu-lagu yang dipilih, pasukan produksi turut melakukan kajian mendalam, termasuk mewawancara dua tokoh penting dalam industri seni iaitu maestro muzik dan komposer Dato’ Dr. Johari Salleh serta penyanyi dan pelakon Ahmad Fauzi.

Selain itu, Mac Training Centre turut menjalin kerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang melibatkan pensyarah, alumni, dan pemuzik dari Fakulti Muzik, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, serta Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya. Penyelidikan lanjut turut dibuat di Bahagian Muzik RTM, Arkib Negara, serta Perpustakaan Negara.
Rakaman audio dan intipati visual projek Lagu Dari Seluloid VOLUME 2, yang mengandungi kredit nama para komposer, penulis lirik, dan penyanyi, telah ditayangkan di saluran YouTube Mac Training Centre pada 27 Februari 2025. Projek ini turut menerima sokongan daripada Mastika Katering sebagai penaja utama makanan sidang media, tajaan venue daripada ASWARA, serta geran ArtsFAS 2024 daripada Yayasan Hasanah.

Tahun lalu, Lagu Dari Seluloid telah menampilkan lagu-lagu lain dari era 1950-an seperti Sayang Di Sayang (filem Racun Dunia, 1950) dan Aku Tetap Menyinta (filem Orang Minyak, 1958). Projek ini terus menjadi platform penting dalam mendokumentasikan serta memperkenalkan semula muzik klasik Melayu kepada generasi moden.