Ombak Festival 2025 Kembali ke Desaru Coast September Ini

Setelah kejayaan penganjuran Ombak Festival 2024 yang menarik kehadiran lebih daripada 5,000 pengunjung ke Desaru Coast, Johor, festival ikonik ini akan kembali tahun ini dengan edisi yang lebih menarik.
Pihak penganjur dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Ombak Festival 2025 akan berlangsung selama tiga hari, dari 12 hingga 14 September 2025, di lokasi yang sama. Festival ini dijangka terus menjadi platform utama bagi penggiat seni, muzik, kulinari, dan hiburan keluarga di rantau ini.
Menurut kenyataan rasmi, barisan pemuzik, chef, artis, serta program khas untuk kanak-kanak akan diumumkan pada April 2025, termasuk butiran tempahan tiket.
Tahun lalu, Ombak Festival 2024 menampilkan artis antarabangsa terkenal seperti Grace Jones, Macy Gray, Nile Rodgers, serta kumpulan rock Sweden The Cardigans. Selain itu, festival ini turut menampilkan barisan pemuzik tanah air yang disegani, antaranya Aisyah Aziz, BUNGA, Disko Santan, Havana Jazz Tumbao, Joe Flizzow, The Shang Sisters, Zainal Abidin, dan ramai lagi.
Ombak Festival 2025 dijangka meneruskan kejayaan edisi sebelumnya dengan menawarkan pengalaman seni dan hiburan yang unik kepada para pengunjung. Orang ramai digalakkan untuk menandakan tarikh festival ini dalam kalendar dan mengikuti perkembangan lanjut melalui saluran rasmi penganjur.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang rasmi festival di https://www.ombakfestival.com.