Ziva Magnolya, Andmesh, Adira, Ara Johari, Hael Husaini & Mary Grace Bersatu di Festival Tentang Cinta 2025

Gabungan emosi, melodi, dan persembahan bertenaga bakal menyinari malam penuh cinta di Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Festival Tentang Cinta yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos 2025, jam 8 malam.
Dianjurkan oleh Extreme Visionary Venture dengan kerjasama Tourism Malaysia, festival berskala besar ini turut disokong oleh Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd serta Ticket2U sebagai platform penjualan tiket rasmi.
Konsert ini bakal menampilkan barisan artis popular dari rantau Asia Tenggara, diketuai oleh penyanyi sensasi dari Indonesia, Andmesh, yang terkenal dengan lagu-lagu cinta menyentuh jiwa, serta Ziva Magnolya, bintang muda dari Indonesian Idol Musim ke-10. Ziva, yang mula mencuri perhatian menerusi media sosial dan kolaborasinya bersama Jeremy Passion di Ramadhan Jazz Festival 2019, terus mencipta nama dengan deretan anugerah muzik termasuk Anugerah Musik Indonesia (AMI). Lagu-lagu seperti Terlukis Indah dan Peri Cintaku telah mendapat sambutan luar biasa di Malaysia dan Indonesia.
Turut menghangatkan pentas ialah barisan artis popular tempatan seperti Hael Husaini dan Ara Johari, di samping dua permata dari Sabah sendiri — Adira dan Mary Grace — yang kini semakin menyerlah di persada seni hiburan negara. Adira dikenali dengan vokalnya yang mantap, manakala Mary Grace terus mencuri perhatian dengan persona dan bakat luar biasanya.
Menurut Penerbit Konsert, Dato’ Suhaila Semaru, festival ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah platform untuk memacu pelancongan dan mengetengahkan bakat tempatan Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.
“Festival Tentang Cinta adalah sebuah inisiatif yang lahir daripada semangat untuk menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman yang penuh makna. Kami ingin menjadikan Sabah sebagai destinasi hiburan yang dinamik, selain memperkenalkan bakat tempatan seperti Adira dan Mary Grace kepada khalayak yang lebih luas,” jelas beliau.
Tourism Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menjayakan festival ini sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan pelancongan domestik menerusi acara berskala besar yang berimpak tinggi.

Bagi memberikan pengalaman eksklusif dan mesra penonton, tiket konsert ditawarkan dalam empat kategori menarik yang berinspirasikan tema cinta:
- Kategori 1 – Tentang Kita (VVIP): RM988 – Tempat duduk bernombor
- Kategori 2 – Kau dan Aku (VIP): RM488 – Tempat duduk bernombor
- Kategori 3 – Jomblo (Gold): RM288 – Tempat duduk bebas
- Kategori 4 – Mencari Cinta (Silver): RM158 – Kawasan berdiri bebas
Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web rasmi www.ticket2u.com.my bermula 9 Mei 2025.