October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ziva & Andmesh Bakal Raih Hati Peminat Sabah

Spread the love

Dua penyanyi popular Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya, bakal menggegarkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos ini dalam sebuah konsert berskala besar bertemakan cinta, Festival Tentang Cinta.

Konsert anjuran Extreme Visionary Venture ini menghimpunkan barisan artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia, dengan persembahan istimewa oleh Andmesh dan Ziva yang akan mendendangkan lagu-lagu cinta kegemaran ramai. Turut memeriahkan malam istimewa itu ialah penyanyi tempatan terkenal seperti Ara Johari, Adira Suhaimi, Mary Grace dan Hael Husaini.

Menurut Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, konsert ini diharap dapat menjadi medium penyatuan antara peminat muzik dari kedua-dua negara, di samping memperkasakan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Saya sebagai Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, buat pertama kalinya menganjurkan konsert Festival Tentang Cinta dengan gabungan artis-artis serantau yang akan menggegarkan Sabah International Convention Centre pada 9 Ogos ini.

“Saya sangat berharap konsert ini mendapat sambutan yang luar biasa, khususnya daripada peminat di Sabah serta negeri-negeri berdekatan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ziva Magnolya, yang bakal membuat kemunculan pertamanya di Kota Kinabalu, turut meluahkan rasa teruja untuk bertemu para peminatnya.

“Ini pertama kali saya akan menyanyi di Kota Kinabalu. Ia adalah satu pengalaman yang luar biasa dan saya sangat menghargai peluang yang diberikan oleh Festival Tentang Cinta. Jangan lupa beli tiket dan jumpa kami semua di SICC, 9 Ogos nanti,” katanya.

Sementara itu, Andmesh Kamaleng menganggap festival ini sebagai wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan serantau melalui muzik.

“Saya sangat senang kerana dapat menyatukan kekeluargaan ini melalui muzik. Kami akan beri persembahan terbaik dari segi susunan muzik, semangat dan pengalaman. Ini kali kedua saya ke Kota Kinabalu, semoga tidak mengecewakan,” katanya.

Festival Tentang Cinta turut mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha mempromosikan pelancongan domestik menerusi penganjuran acara berskala besar di Sabah.

Tiket konsert kini boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula RM158 (Silver), RM288 (Gold), RM488 (VIP) dan RM988 (VVIP).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page