Yonnyboii Tunaikan Impian Bekerjasama Dengan Malique
Penyanyi dan komposer popular tanah air, Yonnyboii, melakar sejarah peribadi dalam karier seninya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Tanya Tuhan, yang menyaksikan impiannya untuk bekerjasama dengan figura ikonik muzik tanah air, Malique, akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Yonnyboii, peluang ini merupakan pencapaian tertinggi dalam hidupnya dan satu kemenangan yang sangat bermakna dari pelbagai aspek.
“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. Memang gila, saya pun tak boleh hadam lagi ada lagu bersamanya,” katanya penuh teruja.
Lagu Tanya Tuhan merupakan hasil ciptaan bersama Yonnyboii dan penerbit muzik LastKhalif, yang turut bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek. Lebih istimewa, lirik lagu tersebut ditulis hasil gabungan idea Yonnyboii dan Malique sendiri.
“Sepanjang proses menyiapkannya, terlalu banyak momen hebat yang saya alami. Dapat bekerja dengan insan-insan hebat ini sangat menginsafkan dan memberi penghormatan yang sukar digambarkan,” ujarnya.

Yonnyboii turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, yang disifatkan sebagai individu penting yang menjayakan kolaborasi ini.
Menurutnya, Tanya Tuhan diinspirasikan daripada kisah sebenar kehidupannya, khususnya saat dirinya berdepan keraguan dan tekanan emosi dalam kehidupan sebagai pemuzik dan seorang bapa.
“Waktu tulis lagu ni, saya bukan dalam kesusahan sangat, cuma saya rasa jauh daripada diri sendiri dan banyak beremosi. Banyak pergolakan berlaku, saya ‘burnout’ dan tak tahu nak tanya siapa. Kadang-kadang kita hanya mampu bertanya pada Tuhan,” jelasnya.
Single ini turut dilengkapkan dengan sebuah muzik video arahan pengarah pilihan Yonnyboii, Thaqif, yang juga sahabat baiknya dalam industri.
“Thaqif adalah salah seorang pengarah yang saya impikan untuk bekerjasama. Walaupun idea saya kadang-kadang agak ‘gila’, dia mampu faham dan terjemahkan dengan baik. Saya harap kami boleh terus bekerjasama dalam projek akan datang,” katanya.
Yonnyboii berharap Tanya Tuhan akan menyentuh hati para pendengar dan memberi kekuatan kepada mereka yang berdepan cabaran dalam hidup.
“Saya harap pendengar dapat rasa apa yang saya lalui, dan semoga lagu ini menjadi karya yang mampu mereka kaitkan serta beri semangat sepanjang perjalanan hidup,” katanya mengakhiri.
