April 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Yesung “It’s Complicated” in Kuala Lumpur, Bagaikan Malam Cinta yang Tak Perlu Dijelaskan

Spread the love

Bayangkan satu malam di mana cinta tidak perlu dijelaskan. Cukup dengan suara, cahaya, dan kejujuran. Itulah malam yang tercipta di Zepp Kuala Lumpur pada 12 April lalu, saat Yesung, ahli kumpulan legenda SUPER JUNIOR, menyempurnakan penutup konsert jelajah solonya, It’s Complicated Tour 2025, di hadapan ribuan peminat setia.

Sejak saat pertama Yesung muncul di pentas, beliau berjaya mencipta suasana yang intim dan penuh emosi, dibaluti kehangatan, kasih sayang dan hubungan mendalam yang hanya mampu diwujudkan melalui suara lunaknya dan kehadiran yang menenangkan.

Konsert jelajah It’s Complicated bermula pada 18 Januari di Seoul, Korea Selatan dan menjelajah ke beberapa bandar utama di Asia termasuk Hong Kong, Singapura, Macau dan Tokyo sebelum menutup tirai di Kuala Lumpur. Tetapi malam itu, Yesung mencipta keajaiban sebuah persembahan yang direka dengan tema unik dan bermakna.

Suara lembut Yesung mengisi setiap penjuru dengan kehangatan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar persembahan muzik tetapi a adalah pengalaman spiritual yang menjahit perasaan, menenangkan hati, dan memeluk jiwa yang penat. Lampu-lampu yang mengiringi setiap lagu bukan sekadar hiasan, tetapi pencerita kedua yang menggambarkan warna-warna emosi.  

Konsert ini disusun seperti kehidupan harian yang penuh naik turun.  Setiap lagu seperti mewakili waktu dan suasana berbeza dalam satu hari manusia. Ia bermula dengan “Small Things,” “Between,” dan “Like Us.  Sorotan lampu lembut berwarna oren dan biru muda menambah rasa syahdu pada permulaan yang intim ini.

“Ini kali pertama saya ke Kuala Lumpur sebagai penyanyi solo. Tapi rasa macam dating malam ni,” usiknya sambil tertawa, mencairkan suasana selain menjentik emosi khalayak yang mendambakan sesuatu yang hangat daripada Yesung.

Saat tempo meningkat, pentas dipenuhi cahaya neon dan kilauan warna ceria sewaktu Yesung membawakan “Beautiful Night,” “Eat’s OK,” dan “Pink Magic.” Lagu-lagu ini menggambarkan momen manis dalam kehidupan.  Yesung tidak hanya menyanyi, dia bermain, bergurau, dan menyapa khalayak dengan begitu baik.

Klimaks emosional tercipta apabila Yesung membawakan lagu ‘It Has to Be You’. Saat itu, seluruh dewan bergema dengan nyanyian peminat, disinari lampu dari ribuan telefon pintar dan mencipta suasana seakan konstelasi cinta.

Suasana kemudiannya berubah, cahaya malap dan warna-warna malam menyelubungi atmosfera Zepp Kuala Lumpur.  Yesung memperlahankan segalanya dengan “Parallel Lines,” “Beautiful Paradox,” dan “Fly.” Lagu-lagu ini menyentuh dasar hati bagaikan mengimbau kenangan, kegagalan, harapan yang tidak menjadi kenyataan, namun tetap indah untuk dikenang. Sorotan lampu yang berputar perlahan, seolah-olah mengajak penonton merenung ke dalam diri sendiri.

“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada konsert solo pertama saya di Malaysia. Ramai yang pertama kali jumpa saya, dan saya rasa ‘date’ kita berjalan lancar.  Tahun depan saya akan menyambut ulang tahun ke-10 sebagai solo. Saya harap kita boleh jumpa lagi selepas ini” ujarnya sebelum menutup persembahan dengan lagu ‘Slide Away’, menjadi noktah manis kepada malam yang takkan dilupakan.

Seluruh dewan sunyi, bukan kerana bosan, tetapi kerana tak mahu malam itu berakhir. Lampu putih lembut jatuh dari atas seperti embun malam, seolah-olah menenangkan semua jiwa yang telah diusik oleh persembahan sebelumnya. Ia bukan penamat, tetapi pelukan terakhir sebelum melepaskan.

Yesung, lebih dari sekadar penyanyi tetapi adalah pencerita. Setiap lagu yang disampaikan membawa naratif dan kejujuran. Beliau tidak berdansa atau memukau dengan gerakan tetapi dengan suara dan mata yang berbicara.

Paling istimewa, kehadiran band secara langsung menjadikan setiap lagu hidup, bernafas, dan lebih mendalam. Musik yang menyelimuti, bukan mengatasi. Suaranya hangat, menyentuh, dan tulus.

Bagi ELFs yang hadir, konsert ini bukan sekadar melihat seorang idola di pentas. Ia adalah pertemuan semula dengan seorang teman jiwa. Seperti seseorang yang faham bahawa dalam kesibukan hidup, kita cuma perlukan satu suara untuk memberitahu, “Tak mengapa. Hari ini kau dah cukup hebat.

Kredit Foto: iMe Malaysia

Dan itulah keindahan It’s Complicated. Ia tidak berlebihan. Tiada dramatik palsu. Hanya keikhlasan. Keindahan dalam kesederhanaan. Mesejnya jelas: dalam kekusutan dunia, kadang-kadang cukup untuk kita hanya hidup, rasa, dan bertahan. Dan itu pun sudah luar biasa.

Yesung “It’s Complicated” in Kuala Lumpur  telah di anjurkan oleh iMe Malaysia itu telah bermula pada jam 5 petang itu berakhir dengan jutaan nostalgia yang dicipta oleh Yesung bersama fanatikanya sekaligus membuktikan bahawa meskipun judul konsertnya berbunyi “It’s Complicated”, kasih sayang antara dia dan peminatnya nyata sangat mudah, tulus dan saling mengisi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page