XPDC Gabung Rock dan Orkestra Dalam Konsert ‘Metalkestra 2025’ di Zepp Kuala Lumpur November Ini

Kredit Foto: Mentari Merah
Kumpulan rock legenda tanah air, XPDC, bakal mengukir sejarah baharu dalam karier muzik mereka menerusi konsert mega berjudul ‘XPDC Metalkestra 2025’ yang akan berlangsung pada 8 November 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records ini bakal menjadi penampilan pertama XPDC dalam format gabungan muzik rock heavy metal dan orkestra, memperlihatkan sisi dramatik, sinematik dan bertenaga yang belum pernah diterokai dalam persembahan mereka sebelum ini.
XPDC, yang kini dianggotai oleh Izo (gitar), Eddie (bass), Arif (gitar), Lola (dram) dan Zul Mamu (vokal), akan membawakan semula rangkaian lagu-lagu ikonik mereka seperti Apa Nak Di Kata, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Hijau Bumi Tuhan dan CT Cinta Kenangan Silam dalam susunan muzik baharu berlatarkan orkestra.
Menurut Izo, konsert ini merupakan dedikasi kepada peminat setia yang menjadi tulang belakang XPDC sejak lebih empat dekad lalu.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, ia adalah penghormatan buat peminat yang telah bersama kami dari awal. ‘XPDC Metalkestra’ menandakan bab baharu dalam perjalanan muzik kami,” ujar Izo ketika sidang media diadakan di Ideas Hotel, Kuala Lumpur.
Mengulas isu kewujudan beberapa versi kumpulan XPDC, Izo menyatakan keterbukaan untuk berkongsi pentas dengan mana-mana kumpulan XPDC lain seperti XPDC Kita Peng Yu atau Real XPDC melalui penganjuran Konsert Keluarga XPDC.

“Kita boleh nilai secara profesional siapa yang benar-benar layak. Kalau ada pihak luar yang sudi jadi pengadil, kita pun tiada masalah,” kata Izo.
Lola, pemain dram XPDC, turut bersetuju dengan cadangan itu dan menyatakan pihaknya sudah lama terbuka dengan jemputan seperti itu.
“Kami bukan mahu bersaing, tetapi bermain muzik dalam suasana harmoni. Muzik bukan untuk dipertandingkan. Kalau kita bagus, pasti ada yang lebih bagus tetapi itu hakikatnya,” ujar Lola.
Pengarah Republic Mokhmah Records, Encik Musa, menyifatkan konsert ini sebagai simbol bahawa muzik rock kapak masih relevan dan berkembang mengikut peredaran zaman.
“Metalkestra adalah manifestasi bahawa muzik rock tidak pernah mati. Kami mahu generasi baharu merasai kehebatan XPDC dalam suasana konsert yang megah dan moden,” jelas beliau.

Tiket mula dijual pada Selasa, 30 Julai 2025 jam 5 petang melalui platform iLasso Tickets.
Sebagai tambahan, pihak penganjur turut mengadakan Peraduan cosplay samurai — hadiah istimewa untuk peminat dengan kostum paling kreatif dan Cabutan bertuah — menangi salah satu daripada tiga gitar Jackson Izo Signature.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati di: www.ilassotickets.com
