March 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

WOODZ kembali gegar KL April ini

Spread the love

Selepas dua tahun menanti, peminat K-pop tempatan akhirnya bakal kembali menyaksikan aksi bertenaga bintang popular Korea Selatan, WOODZ apabila penyanyi itu mengumumkan persinggahan jelajah dunia ‘Archive. 1’ World Tour di Kuala Lumpur pada 18 April 2026.

Konsert yang dijadual berlangsung jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh iMe Malaysia dan dijangka menghimpunkan ratusan peminat setianya yang dikenali sebagai MOODZ.

Kemunculan semula WOODZ atau nama sebenarnya Cho Seung-youn di Malaysia pastinya mengubat rindu peminat selepas kali terakhir mengadakan persembahan di venue sama pada 2023.

Dikenali sebagai artis serba boleh, WOODZ bukan sahaja menyerlah sebagai penyanyi, malah aktif sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit muzik. Keupayaannya menggabungkan pelbagai genre seperti pop, R&B, rock dan hip hop menjadikan setiap karya yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri.

Perjalanan seninya mula mencuri perhatian antarabangsa ketika menjadi anggota kumpulan UNIQ sebelum popularitinya melonjak selepas menyertai program realiti Produce X 101 dan seterusnya debut bersama kumpulan projek X1.

Sebagai artis solo, WOODZ mencipta impak besar menerusi lagu “Love Me Harder” yang menjadi titik penting dalam kerjayanya. Beberapa karya lain seperti “Drowning”, “Waiting” dan “Feel Like” turut mendapat sambutan hangat peminat di seluruh dunia.

Kini bernaung di bawah label EDAM Entertainment, WOODZ terus mendapat pengiktirafan kerana penglibatan aktifnya dalam proses kreatif muzik termasuk penulisan, komposisi serta produksi lagu.

Jelajah ‘Archive. 1’ World Tour dianjurkan sempena pelancaran album studio penuh pertamanya berjudul Archive. 1 yang dijadualkan dilancarkan pada 4 Mac 2026.

Tour berkenaan akan membuka tirai di Incheon pada 14 dan 15 Mac sebelum menjelajah ke 17 bandar di seluruh dunia termasuk Tokyo, Singapura, Hong Kong, London, Paris, Melbourne dan Sydney.

Peminat boleh menjangkakan persembahan yang menampilkan gabungan lagu baharu daripada album Archive. 1 bersama karya popularnya, selain produksi pentas yang lebih besar serta pengalaman persembahan langsung yang lebih matang.

Harga tiket yang diumumkan adalah VIP Standing – RM798, PS1 Standing – RM598, VIP Seated – RM798, PS2 Seated – RM498, PS3 Seated – RM398 dan VIP Box – RM798 seorang (maksimum lapan orang)

Tiket akan mula dijual menerusi platform Fantopia di www.fantopia.io, dengan setiap transaksi dihadkan kepada dua tiket sahaja.

Peminat boleh menjangkakan persembahan yang menampilkan gabungan lagu baharu daripada album Archive. 1 bersama karya popularnya, selain produksi pentas yang lebih besar serta pengalaman persembahan langsung yang lebih mantap.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page