September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Wings Tetap Ampuh, Energetik Padat dengan Aksi

4 min read
Spread the love

Oleh:  Zizi Hashim

Foto Kredit:  Sayap Sayap Wings / Kelkatu TV

Tidak perlu mendabik dada meskipun sudah ‘terbang tinggi’, Wings tetap tunduk ke bumi.  Justeru itu tidak hairan mengapa tiket harga rahmah yang menjadi resepi kejayaan Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter ‘sold out’, Stadium Malawati Shah Alam turut menjadi saksi 9000 peminat membanjiri lokasi meskipun hujan lebat membasahi pada 16 Disember lalu.

Konsert Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter turut membuktikan bahawa mereka adalah jenama yang tetap ampuh mendominasi nuansa rock selain rakus memberikan persembahan dengan penuh energi dan padat dengan aksi.

Tepat jam 9 malam, suasana hening seketika namun di hidupkan dengan intro yang cukup dramatik lantas membawa pandangan hadirin ke sosok tubuh ‘sang peniup sangkakala’ seraya memberi isyarat bahawa ‘peperangan’ bakal bermula.  Sementara itu kelihatan 5 ‘panglima’ bersemayam dengan gagah bersama kostum ala ‘viking’ di atas singgahsana.

Hadirin terus di pukau dengan gemaan muzikal, “Adone Dari Paran”, “Jumpa Hilang” dan “Lubuk Pusing” yang terus di paterikan bersama semangat ‘pahlawan’ yang berperang di antara Dato’ Awie, Sham, Edrie, Eddie dan Black yang terus memaku khalayak.

“Terima kasih buat anda yang hadir dan tidak jemu-jemu menyokong karier Wings daripada dahulu hingga sekarang.  Kita merasa bertuah kerana di satukan di Stadium Malawati pada tanggal 16 Disember ini”, sapa Datuk Awie .

Suasana sedikit santai apabila Wings membawakan lagu “Cinta Seusia Kita” yang turut menyaksikan peminat bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.  Seakan tiada noktah, lagu “Komplikasi Pramayar” dan “Jerangkap Samar” dihidang bersama lontaran vokal berselang seli dengan hentakkan dan ketukkan serta petikan yang berirama lantas mencetuskan harmoni.

Konsert Wings The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah manakala Awie Entertainment bertindak sebagai Rakan Strategik terus mengimplimentasikan maksud fatamorgana dengan unsur teaterikal dan elemen pementasan, permainan cahaya, paparan video dengan seleksi lagu-lagu yang cukup mesra telinga iaitu “Bernafas Dalam Lumpur”, “Gemuruh” dan “Ingatkan Dia”.

Wings turut menampilkan segmen ‘tribute’ kepada band rock yang menjadi inspirasi mereka iaitu antaranya, Scorpions dengan lagu Holiday; Deep Purple (Black Night); Cinderella (Nobody’s Fool); Loudness (Run For Your Life dan Like Hell).  Pujian wajar diberikan kepada Awie kerana berusaha membawakan lagu saduran tersebut dengan versi vokal seakan penyanyi asal.

Usai segmen tribute, lampu dimalapkan seketika. “Sekarang saya nak sampaikan lagu……” Awie terdiam dan tiba-tiba mengeluarkan 2 keping note RM50 dari poketnya diikuti dengan gelak ketawa yang gamat, semua sudah dapat tangkap lagu apa seterusnya bakal dihidangkan. Jerit pekik “Nak pinjam! Nak pinjam seratus!” kedengaran nakal dari rata-rata crowd yang hadir.

 “Lagu ini takde kena-mengena dengan Wings, tapi ni semua korang punya pasal la ni.” kata-katanya itu terus disahut intro riff gitar berhantu lagu “Nur Nilam Sari” bergema meremangkan bulu roma hadirin yang begitu rindu untuk mendengar lagu ini secara live. “Jangan ambil serius ok? Kita enjoy!” laung Dato’ Awie disahut sorakan peminat.

Seleksi lagu-lagu seperti “Sekeping Kertas Bermaruah”, “Rock N Roll Lu Punya Suka” dan “Awang Trasher” mengajak peminat semua headbanging bersama sebelum digalaukan dengan lagu bernuansa Blues “Dalam Kehadiran Sofiah”.

Sekali lagi lampu dimalapkan, skrin layar lebar mempamerkan visual suasana di bumi Palestin yang sangat menyedihkan, bunyi bom meletup dan bunyi peluru bertalu-talu sangat menakutkan telah menukar cuaca di dalam Stadium Malawati banjir airmata. Lagu “Allah Allah Aghisna” lantunan Awie begitu merdu gemersik membuai jiwa, mengheret semua khalayak turut merasai penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin dan tidak dapat menyembunyikan tangis.  Awie sendiri membacakan doa dengan bersungguh-sungguh dalam nada yang begitu syahdu dan menyentuh jiwa. Peminat sama-sama terkesan dengan emosi yang menguasai malam yang dingin di Shah Alam, mengharapkan doa setulus hati di angkat dan di makbulkan Allah dengan segera. Hasbunallah Wanikmal Wakil.

Wings mengambil sedikit masa untuk pulih dari momentum sedih yang terwujud, menghilang seketika dengan suasana stadium yang gelap sebelum kembali menghentam amarah menerusi lagu “Rantai”. Beralih ke segmen medley, lagu-lagu hits seperti “Intanku Kesepian”, “Belenggu Irama”, “Anugerah” dan “Misteri Mimpi Syakilla” membawa bersama 1001 kenangan terindah sejak tertubuhnya Wings dalam tempoh 3 dekad yang lalu. Lagu-lagu ini sememangnya ditunggu-tunggu ramai untuk sing-along sambil tangan-tangan dihayunkan ke udara mengikut irama balada yang melekat di jiwa.

Bunyi guruh terdengar sayup diikuti perlahan bunyi deraian hujan gugur ke bumi, peminat telah dapat meneka lagu apa bakal bergema. “Taman Rashidah Utama” seperti kebiasaannya begitu berbisa dari segi melodi, petikan gitar signature chordnya, sangat menusuk kalbu. Emosi yang bercampur-baur membuatkan tidak terasa sudah hampir 3 jam Wings beraksi di pentas, dengan set gah dan mewah seperti dalam istana. Jam menunjukkan hampir 12 malam, terasa tidak sempurna andai tamat begitu saja, peminat lantas melaungkan “We Want More! We Want More!” tidak berganjak dari posisi duduk dan berdiri. Rata-ratanya tidak berpuas hati dan mahukan lebih lagi, meski emcee Isma Halil sudah mengucapkan Selamat Malam dan kesemua line-up Wings telah ke hadapan pentas untuk tunduk hormat seperti kebiasaan konsert tamat.

Masih melaung-laung malam masih muda, kita henjut sampai pagi, crowd sepakat berpadu suara mahukan lagu wajib “Sejati” dipersembahkan. Melihatkan suasana itu, Black kembali ke posisi dram disahut jerit pekik bak histeria dari crowd yang menggila. Eddie menggalas semula bassnya, Syam dan Edrie senyum-senyum sambil geleng kepala akur dengan gitar siap di tangan, menunggu Awie memberi isyarat apakah permintaan itu harus dipenuhi.

Namanya juga band otai, Wings tidak lokek belanja lagi bukan 1 tapi 4 lagu, “Romania” memecah malam yang sepatutnya berakhir, tak jadi, kita headbanging sampai pagi. “Hahahahaha” gelak ketawa intro lagu “Jerangkung Dalam Almari” makin buat semua tak sedar diri, henjut kepala tanpa henti. “Harapan” dan “Sejati” adalah bonus terindah buat peminat setia Wings yang sentiasa mengharapkan Wings tetap sejati dan unggul di persada muzik Rock negara.

Pengalaman 3 dekad bergelumang dalam dunia seni muzik rock yang mahal membuatkan Wings terus kekal dalam skala mega rockstar yang kental. Konsert Wings The Rock Emperor  sekali lagi mencipta sejarah dengan jualan tiket ‘sold out’.  Antara sedar atau tidak kerangka pentas gah terpapar ‘W’ yang mewakili jenama tersebut apatah lagi pencahayaan lampu juga terinspirasi daripada abjad ‘W’.

Untuk Wings, terbanglah lebih tinggi kerana langit tiada berdimensi, asalkan tetap sejati, peminat tetap setia disisi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page