Wings Kembali Menggila: “Orang Kita” Bakal Menggegarkan Zepp Kl
Petir menyambar, api menyala dan roh rock Melayu kembali dibangkitkan. Itulah aura yang terpancar daripada poster rasmi konsert WINGS – ORANG KITA, sebuah perhimpunan agung yang bakal menyatukan semula jiwa-jiwa rock pada 30 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Imej pada poster bukan sekadar visual promosi, tetapi satu deklarasi. WINGS berdiri teguh seperti panglima perang vokal diangkat tinggi, gitar bersedia menghunus riff, dan dentuman dram seakan guruh yang menanti masa untuk dilepaskan. Wajah-wajah berpengalaman ini bukan asing dalam sejarah muzik tempatan; mereka adalah arkitek kepada satu era, dan sehingga kini masih menjadi penanda aras kekuatan rock Melayu.
Judul “Orang Kita” sendiri membawa makna yang besar. Ia bukan hanya nama konsert, tetapi satu seruan dimana mereka menekankan tentang kebersamaan, kesetiaan dan identiti. WINGS tidak datang sebagai nostalgia semata-mata, sebaliknya sebagai suara yang masih relevan, masih berapi, dan masih mampu menyatukan generasi lama dan baharu di bawah satu bendera rock.
Zepp KL dipilih sebagai medan pertempuran bunyi, ruang yang cukup intim untuk merasai peluh dan emosi, namun cukup besar untuk menampung lautan peminat yang dahagakan pengalaman konsert sebenar. Jika poster ini sudah cukup untuk menaikkan adrenalin, bayangkan apa yang bakal berlaku apabila lampu dipadam, intro bergema dan jeritan pertama dilepaskan dari pentas.

Dengan sokongan penganjur RPM Events, RPM Label dan penjualan tiket menerusi UberTickets, konsert ini dijangka menjadi antara acara rock paling signifikan awal 2026. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu perayaan, perayaan tentang siapa kita, dari mana kita datang, dan mengapa rock tidak pernah mati.
