October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Wings 40 Tahun: 80 Peratus Tiket Terjual, Jade, Silver, Emerald, Gold & Diamond ‘Habis Diborong’ — Nostalgia Rock Menggamit Jiwa

Spread the love

Ada bunyi yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Bunyi yang bertakhta dalam memori generasi. Empat dekad lalu, sayap mereka mula mengepak; malam 28 November nanti, sayap itu akan kembali menebar, mengangkat jutaan memori ke langit. Wings nama yang telah menjadi denyut nadi rock tanah air bakal membuktikan sekali lagi bahawa nyalinya tetap menyala apabila hampir 80 peratus tiket telah terjual untuk konsert ulang tahun ke-40 mereka, “4 Dekad Terbang Tinggi.”

Konsert mega ini bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dan menampilkan barisan yang telah mencipta jutaan kenangan dimana Awie (vokal), Eddie (bass), Black (dram) serta dua satria gitar yang mengguratkan melodi, Sham dan Edrie (gitar). Kehadiran mereka di pentas bukan sekadar persembahan; ia adalah dialog antara masa lalu dan masa kini, satu panggilan jiwa kepada mereka yang pernah bergelut, bercinta dan berdansa bersama lagu-lagu mereka.

Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. (RPM) selaku penganjur mengesahkan sambutan luar biasa daripada peminat apabila hampir 80 peratus tiket telah terjual, dengan kategori Jade (RM240), Silver (RM340), Emerald (RM340), Gold (RM540) dan Diamond + Meet & Greet (RM1040) telah habis diborong.

Masih berbaki tidak sampai 1000 keping untuk peminat adalah kategori Platinum – RM440, Copper – RM440 dan Bronze -RM540 yang kini menjadi rebutan. Tiket boleh dibeli menerusi rpm.ubertickets.asia

Lagu-lagu malar segar seperti Sejati, Misteri Mimpi Syakilla, Taman Rashidah Utama dan Hukum Karma dijangka menjadi bait-bait yang mencucuk kalbu. Saat di mana setiap kord gitar, setiap dentum dram dan setiap larian vokal membawa kembali nostalgia yang manis dan pedih serentak.

Namun gema konsert ini lebih dari sekadar muzik. Ia adalah sebuah perjalanan jiwa yang dirakam.   Sebuah dokumentari eksklusif yang akan merakam luka, tawa dan kemenangan sepanjang empat dekad perjuangan mereka. Inisiatif-inisiatif ini menambah lapisan makna, bukan hanya meraikan legenda, tetapi memberi kembali kepada komuniti dan menyulam cerita untuk generasi akan datang.

Dengan hanya sekitar 20 peratus tiket terakhir yang masih berbaki, malam itu dijangka menjadi saksi detik-detik berharga dimana pertemuan semula antara suara-suara lama dan wajah-wajah baru, sebuah reuni besar yang membuktikan sayap Wings tidak pernah benar-benar rapuh malah ia hanya menunggu saat untuk terbang lagi.

Kerana pada malam 28 November, bukan sekadar lagu yang akan bergema. Ia adalah kisah empat dekad rindu yang akhirnya kembali menari di bawah cahaya pentas.

Untuk maklumat lanjut, ikuti perkembangan melalui media sosial rasmi @rpmevents (Instagram/Facebook/TikTok).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page