Wave 2025 Bawa Pengalaman Av Luar Biasa Ke Petaling Jaya
Bayangkan ruang tamu anda bertukar menjadi pawagam peribadi atau pentas konsert eksklusif – itulah janji acara sulung WAVE Audio & Visual Experience 2025 (WAVE 2025) yang bakal berlangsung di Hotel Eastin, Phileo Damansara dari 10 hingga 12 Oktober ini.
Dianjurkan Gryphon Production Sdn Bhd, syarikat yang terkenal dengan produksi konsert berskala besar, WAVE 2025 bukan sekadar ekspo biasa, sebaliknya menawarkan pengalaman imersif yang menggabungkan inovasi, teknologi serta gaya hidup.
“Tak ada jargon teknikal, tak ada syarat tersembunyi – hanya muzik hebat, visual menakjubkan dan inspirasi bagaimana rumah boleh jadi ruang pengalaman terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gryphon Productions, Wilson Teoh.


Acara tiga hari ini menghimpunkan lebih 65 pempamer dengan lebih 200 jenama terkenal dari dalam dan luar negara. Antara tarikan utama termasuk:
- Sistem Hi-Fi jutaan ringgit dipamerkan oleh Audio Perfectionist dan Statement Systems.
- Acoustical A-Stellar turntable bernilai lebih RM1 juta.
- ASEAN Premiere AudioVector R10 Arrete speakers dan projektor Hisense L9Q Triple Laser.
- IXOOST Artistic Audio dari Itali yang gabungkan rekaan kereta mewah dengan sistem bunyi premium.
- Produk tempatan seperti pembesar suara, kabel digital, server muzik serta sistem akustik buatan Malaysia.
Lebih menarik, pengunjung juga boleh memburu koleksi vinyl dan CD asli, menyaksikan demo Starlink, serta mendengar perkongsian daripada pakar audio global menerusi sesi WAVE TALKs.

Menurut Teoh, WAVE 2025 direka untuk semua – sama ada pencinta muzik, kaki wayang atau mereka yang sukakan ruang kediaman penuh gaya.
“Bayangkan malam santai bersama keluarga terasa seperti malam tayangan perdana, atau ruang tamu jadi lounge dengan bunyi seolah-olah anda berada di konsert. Itulah yang kami mahu tunjukkan,” tambahnya.

WAVE 2025 dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dengan kemasukan percuma. Pengunjung hanya perlu mendaftar dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.wave-avshow.com
