November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Wali Band ‘Cari Jodoh’ dan ‘Dawai’ di Pulau Pinang

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Idea untuk membawakan Wali Band ini tercetus setelah kejayaan beberapa siri konsert yang diadakan seperti Konsert Radja dan kemunculan Istimewa Ella yang berjaya menghimpun lebih dari 5,000 peminat mereka. Kami dari pihak penganjur Orange International telah terus berkembang dan terpanggil untuk memajukan lagi industri hiburan tanahair, ekonomi serta aktiviti pelancongan dalam negara dengan membawakan hiburan dari seberang sekali lagi. Alhamdulillah.” tutur Dato’ Fadzli Idrus, selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Orange International, membuka cerita pada petang 9 Januari ketika sidang media khas diadakan bagi mewarwarkan konsert yang bakal diadakan tidak lama lagi itu.

“Konsert ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat muzik sebelah utara. Konsert “Wali ‘Cari Jodoh’ dan ‘Dawai’ in Penang” ini turut menampilkan penyanyi asal lagu “Dawai” iaitu Fadhilah Intan, Saixse dan Khai Bahar pada 3 Februari 2024 bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang.” sambungnya, begitu teruja dengan konsert yang bakal berlangsung kurang dari sebulan sahaja lagi. Ketidakhadiran Wali Band pada sidang media yang bertempat di Gula Cakery KL East Mall kelmarin adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan atas sebab komitmen kerja di Indonesia, namun rakan-rakan media telah dipertontonkan dengan sebuah Klip Video khas yang direkod terlebih dahulu oleh Wali Band untuk pernyataan maaf mereka kerana tidak dapat berada di sidang media bersama yang lain.

Wali Band merupakan kumpulan Pop Popular di Indonesia sangat terkenal dengan lagu-lagu hits seperti “Cari Jodoh”, “Baik Baik Sayang”, “Doaku Untukmu Sayang”, “Yang Penting Halal”, “Ya Allah”, “Emang Dasar” dan “Yank” yang sering menjadi siulan ramai peminat di Malaysia. Berasal dari Ciputat, Tangerang Selatan dan dianggotai oleh Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (kibod), sehingga kini masih kekal dengan line-up asal.

Wali Band yang ditubuhkan pada tahun 1999 ini telah dilabelkan sebagai band ‘Pop Kreatif Tempatan’, dikenali ramai dalam menggabungkan lagu-lagu bergenre Alternatif Rock, Religi Balada dengan sentuhan hit Etnik Melayu dalam lagu-lagu mereka. Antarakeunikan mereka yang lain dari band lain juga boleh dilihat pada lagu-lagu yang berlirik komedi seperti “Nenekku Pahlawanku”, “Ada Gajah di Balik Batu”, “Aku Bukan Bang Toyib”, “Si Udin Bertanya” dan “Tobat Maksiat.”

Turut hadir pada petang sidang media kelmarin ialah Fadhilah Intan dan Saixse. Kedua-duanya sporting menyanyikan serangkap dua petikan dari lagu popular mereka namun tentunya tumpuan diberikan pada penyanyi asal lagu “Dawai” yang sangat popular di Malaysia. Tepukan gemuruh dan sorakan bergema sebaik sahaja penyanyi itu usai mengalunkan nada tinggi lagu tersebut. “Lagu ini terlebih dahulu popular di Malaysia berbanding Indonesia dan saya sangat bersyukur tentang hal itu.” Ujar Fadhilah Intan yang manis kelihatan bertudung dan berbusana blazer corak batik rona gelap.

Menariknya, terdapat tema warna bagi dress code pada konsert malam itu nanti yang direncanakan bakal berlangsung selama 2 jam lebih. “Kami sangat menggalakkan penonton untuk hadir dengan mengenakan pakaian serba hijau pada malam 3 Februari itu nanti sebagai tanda sokongan terhadap program ‘Eco-Schools’ yang disarankan oleh kerajaan.” tambah Dato’ Fadzli lagi. “Jom sama-sama sporting pakai hijau, kita berhibur dengan sekitar 13 hingga 15 buah lagu yang akan dipersembahkan pada malam itu nanti, bergantung di atas pemintaan penonton. Jom kita enjoy dan sing-along dengan seleksi lagu-lagu hebat dan terbaik selama 2 jam tanpa henti.”

Tiket-tiket Konsert ‘Wali ‘Cari Jodoh’ dan ‘Dawai In Penang’ ini dibahagikan dalam beberapa kategori seperti Rock Zone (RM88), Silver (RM99), Gold (RM128), VIP (RM159) dan VVIP (RM259). Pembelian boleh dilakukan secara online di www.ticket2u.com.my/walipenang atau hubungi hotline 011-11337638 untuk maklumat lanjut.

“Harapan saya adalah untuk melihat sokongan yang berterusan dari peminat muzik tanahair terhadap usaha kami dalam memberikan hiburan yang terbaik.” Ujar Dato’ Fadzli mengakhiri pertemuan pada sidang media petang itu demi mempromosikan konsert anjuran Orange International yang sentiasa mengutamakan kepuasan dan pemintaan peminat tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page