September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Waktu’ Pertemukan Hasif Upin dan Ziana Zain

2 min read
Spread the love

Buat julung-julung kalinya, sebuah gabungan hebat dua penyanyi berbeza generasi, iaitu penghasil konten viral media sosial dan lagenda seni suara tanah air yang terkenal dengan lagu-lagu bernada tinggi dan sentiasa malar segar.

Hasif Upin dan Ziana Zain digabungkan dalam sebuah single yang cukup istimewa berjudul ‘WAKTU’, hasil ciptaan komposer terkemuka negara iaitu Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group.

“Sejujurnya, kak Ziana merupakan idola saya sejak dahulu lagi dan hampir kesemua lagu beliau saya hafal. Apabila diberi peluang keemasan ini oleh pihak rakaman, pasti saya hargai sangat-sangat,” ujar Hasif.

Penantian selama 15 tahun akhirnya terjawab apabila Ziana Zain kembali meyumbangkan suaranya yang sangat dirindui oleh peminat-peminat semua.

“Mengapa sekarang? Jika bukan sekarang, bila lagi bukan? Saya akui apabila mendengar demo lagu ini buat pertama kali, hati terbuka untuk merakamkannya, dan ini juga adalah buah tangan yang paling istimewa buat semua peminat kesayangan yang tidak jemu-jemu menunggu sekian lamanya,” jelas Ziana Zain ketika ditemui media usai Majlis Pelancaran single dan MV lagu tersebut yang di adakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea disebalik tercetusnya single ini merupakan ilham pihak syarikat rakaman sendiri, AEG. Apabila ditanya siapa penyanyi yang Hasif mahu duet bersama, nama Ziana Zain meniti di bibirnya.

“Bayangkan, pihak AEG menunggu selama 9 bulan untuk mendengar jawapan dari saya dan akhirnya saya bersetuju, lagu ini sememangnya sudah tersedia dan hanya menunggu masa untuk dirakamkan, dan Alhamdulillah segala proses berjalan dengan baik”, tambah Ziana Zain atau lebih mesra dengan panggilan Kak Gee.

WAKTU merupakan sebuah lagu pop bergenre balada rock yang sedikit teatrikal dengan komposisi muzik dramatik yang menceritakan tentang kisah penderitaan dua insan yang terluka akibat cinta yang lalu, walau sudah lama berpisah dan membawa haluan masing-masing, mereka tetap di hantui bayangan dan hidup dalam trauma.

“Sewaktu proses rakaman yang memakan masa selama 2 jam di studio Damansara, kak Gee sangat merendah diri, sentiasa memberi semangat kepada saya dan banyak yang saya pelajari dari beliau, peluang dapat berduet dengan seorang lagenda seni suara merupakan pengamalan yang sangat berharga dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujar Hasif.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Ziana percaya pada takdir dan menganggap ini semua rezeki, katanya, “Ini adalah rezeki kami berdua, peluang yang diberi jangan disia-siakan, saya mengalu-alukan penyanyi baharu untuk berkolaborasi dengan saya. Hasif mempunyai tona suara yang bagus, ‘feel’ yang baik dan berdisiplin, itu yang saya suka tentangnya.

“Harapan saya agar lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat semua, dan sentiasalah menyokong dan mendoakan semoga lagu ini mendapat sambutan hangat.

Lagu WAKTU boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube, Music, KKBox dan Deezer. Manakala video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page