Wadah ‘Hitam’ Bakal Diterjemahkan Menerusi “Goatlordth Black Congregation 2025”
Gig Anjuran Goatlordth Records Ini Bakal Berlangsung di @PetaibelalangKL Pada 15 Februari 2025
Masih kekal dengan konsep DIY, masih relevan selain mengekalkan tradisi genre muzik ‘bawah tanah’. Pesta hiburan berskala kecil yang menghimpunkan jentera berat yang harus di ambil perhatian buat peminat muzik ekstrim tempatan.
Goatlordth Records selaku penganjur cukup cakna dengan minat nuansa ekstrim sekali lagi bakal mengadakan gig yang berpaksikan “Goatlordth Black Congregation 2025”. Ianya bakal berlangsung di @PetaibelalangKL pada 15 Februari 2025. Persembahan bakal bermula sekitar jam 3 petang sehingga jam 11 malam.
Membariskan 8 buah kumpulan yang rata-ratanya adalah sarat dengan nuansa muzik ekstrim metal. Lirikal ‘hitam’ bakal disenyawakan bersama imej selain bakal menghipnosis para fanatika yang hadir.
Langsuir, Nattmaran, Akagrish, Ezophagus, Obscurial, Kebes, Isivred dan Goatlusting Chaos pastinya bakal memberikan impak pada muzik anutannya. Meskipun acuannya ‘kegelapan’ namun sarat dengan mesej serta cerminan agresif yang pasti ‘mendodoikan’ jiwa-jiwa khalayak.
“Ini adalah tawaran terakhir buat peminat untuk mendapatkan tiket yang berharga RM50, dimana ianya juga adalah tiket kategori Early Bird. Tawaran ini akan berakhir pada malam ini”, ujar Aizat selaku Penganjur.
“Mulai esok tiket maka bermulalah jualan tiket bagi kategori Pre Sale yang berharga Rm60, tawaran untuk kategori ini akan berakhir pada 31 Januari 2025 nanti”, tambahnya.
Menurut Aizat juga, selepas 31 Januari tiket akan dijual dengan harga RM70 (sehingga 12 Februari). Peminat juga boleh mendapatkan tiket di pintu masuk lokasi gig berlangsung dimana harga yang ditawarkan adalah RM80.
Sebarang pertanyaan mahupun pembelian tiket boleh menghubungi TICKETING HOTLINE : wasap.my/60129345657