‘Voice of The Heart Concert’ Bukan Hiburan Biasa
Cakna dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin, pihak penganjur CS Excellent tampil menganjurkan persembahan ‘Voice Of The Heart Concert’ yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 7 Mac 2024 yang lalu.
Konsert yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu saudara kita di Palestin yang amat memerlukan bantuan seperti makanan, tempat tinggal, perubatan dan infrastruktur.
Persembahan yang bermula sekitar jam 9.20 malam itu terlebih dahulu di mulai dengan ucapan ringkas oleh wakil Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang menyatakan rasa terharu atas keprihatinan mereka yang terus menyumbang dan menjayakan misi ‘Voice of The Heart Concert’.
Penonton kemudiannya disajikan dengan sebuah Monolog yang cukup menyentuh jiwa dengan paparan LED yang menjadikan penderitaan rakyat Palestin sebagai ‘montaj’ yang menghidupkan lagi monoloq yang turut dilakonkan oleh Ustaz Dini dan Tok Wan Astro.
Suasana bening terus menyelubungi jiwa-jiwa ‘halus’ sementelah didodoikan oleh nyanyian Rahmad menerusi lagu-lagu yang bernuansakan relegi yang diselami lirikal puitis yang cukup menyentuh jiwa. Untaian melodi syahdu yang cukup ‘galau’ sudah pasti menjentik hati dan nurani penonton. Suara Cinta, Balada Seorang Gadis Kecil (saduran daripada Zubir Ali) dan Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara.
Persembahan terus disemarakkan oleh Nadeera Zaini, bintang yang semakin bergemelapan. Nama yang mula terbit di setiap peminat nuansa balada itu tampil menghiburkan peminat dengan 4 buah lagu antaranya Emas dan Boneka Tanpa Hati. Percaturan yang cukup bijak dilakukan oleh penganjur sekaligus membuka mata khalayak bahawa persada muzik tempatan juga mempunyai ‘bintang’ seumpama artis jiran tetangga. Terlalu banyak ‘magik’ yang dilakukan oleh Nadeera demi karier seninya.
Kehadiran Jay Jay di pentas yang cukup eksklusif itu sedikit sebanyak memberikan ‘warna’ dalam konsert kali ini. Pengalaman diguna sebaik mungkin, agar dirinya terus kekal relevan. Meskipun rata-rata peminat yang hadir usianya belum menginjak 40an, namun kesemua lagu Jay Jay menjadi ‘siulan’ bersama. Beliau hadir dengan 5 buah lagu antaranya ialah Dendangan Lagu Ku, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa, We Will Not Go Down (cover Micheal Heart) dan Joget Anggan Tak Sudah.
Keresahan peminat khususnya fan Ernie Zakri masih belum terubat, apabila Rahmad sekali lagi muncul ‘menguasai’ pentas. Ternyata, Rahmad seolah-olah ‘belanja’ khalayak dengan rangkaian lagu-lagu popular Mega seperti Badai, Takdir dan Waktu, Pasti, Nina Karina, Bayangan Gurauan serta sebuah lagu duet ‘Mendung Tak Bererti Hujan’.
Kuntuman senyuman mula mekar di wajah-wajah peminat Ernie Zakri, apabila artis kesayangan mereka tampil di pentas. Nuansa rock yang sebelumnya merawak ke seluruh ruang kini hilang dek lontaran vokal Ernie. Janjinya untuk mendodoi khalayak dengan lagu-lagu terbaik daripada album ‘Aura’ ditepati. Tercipta Sempurna, Satu Cinta, Jangan Hilang Percaya serta beberapa lagu yang pastinya mengubat kerinduan peminatnya.
konsert yang boleh diklasifikasikan serampang dua mata itu bukan hanya bersandarkan kepada hiburan semata-mata tetapi ianya turut menerapkan modal insan yang tinggi sahsiah jati diri kerana penonton boleh berhibur sambil beramal.
Selain Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Persatuan Artis Veteran Malaysia dan Pertubuhan Limpahan Kasih (Anak-Anak Yatim dan Asnaf) turut menerima sumbangan tersebut.
Konsert ini juga mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik.