VIVIZ Gegar Malaysia Buat Pertama Kali Dengan Jelajah Dunia [NEW LEGACY]
Tiket mula dijual 4 September ini
Peminat K-pop di Malaysia bakal disajikan sebuah persembahan yang ditunggu-tunggu! Kumpulan sensasi Korea Selatan, VIVIZ yang dianggotai oleh Eunha, SinB dan Umji, akhirnya akan menjejakkan kaki ke Malaysia buat pertama kalinya menerusi konsert 2025 VIVIZ WORLD TOUR [NEW LEGACY] in MALAYSIA.
Konsert yang dianjurkan oleh TopGallant Show ini dijadual berlangsung pada 25 Oktober 2025 (Sabtu), jam 5 petang di idea Live Arena. Kehadiran VIVIZ pastinya mengubat kerinduan peminat tegar mereka, Na.V, yang sudah lama menantikan detik bersejarah ini.
Lebih istimewa, penampilan sulung mereka di Malaysia hadir pada tahun yang penuh makna buat trio berbakat besar ini. Selain meraikan ulang tahun ke-10 bersama bekas kumpulan mereka, GFRIEND, VIVIZ turut memperkukuh perjalanan seni dengan pelancaran album studio pertama berjudul “A Montage of ( )”, yang mengetengahkan lagu utama “La La Love Me” serta lagu solo setiap ahli iaitu “Hipnotic” (SinB), “Love Language” (Umji), dan “Milky Way” (Eunha).
Sejak debut pada tahun 2022 di bawah naungan BPM Entertainment, VIVIZ – singkatan kepada “Vivid dayZ” (disebut vee-vee-zee) – terus mencipta fenomena global. Single sulung mereka “Bop Bop!” daripada mini album “Beam of Prism” bukan sahaja melonjak nama kumpulan ini, malah meraih trofi muzik hanya seminggu selepas debut.

VIVIZ juga mencipta sejarah sebagai kumpulan K-pop wanita pertama membuat persembahan dalam program “Global Spin” anjuran Grammy, selain memukau penonton dalam program realiti popular “Queendom 2”.
Sejak itu, mereka konsisten melahirkan karya berkualiti dengan deretan mini album seperti “Summer Vibe” (2022), “VarioUS” dan “VERSUS” (2023), serta “VOYAGE” (2024) yang menampilkan lagu kegemaran ramai seperti “MANIAC”, “Untie”, “Shhh!”, “PULL Up” dan banyak lagi.
Kini, tibalah masanya VIVIZ menghadiahkan pengalaman konsert penuh magis kepada peminat Malaysia dimana sebuah malam penuh energi, warna, dan legasi baharu!
