Veteran Grindcore Sarawak Kembali dengan EP Back from the Dead
Selepas berdekad-dekad menyepi, kumpulan grindcore veteran Kuching, Lost Infidel, akhirnya menamatkan penantian panjang peminat apabila melancarkan EP sulung mereka berjudul Back from the Dead, sekali gus menghidupkan semula legasi band berkenaan dalam landskap muzik bawah tanah Sarawak.
EP tersebut dilancarkan secara rasmi malam tadi di Bintulu, bersempena satu acara santai yang turut dihadiri rakan pemuzik serta penaja, termasuk sesi makan-makan dan rakaman podcast khas yang membincangkan perjalanan serta kandungan EP itu.
Menurut Suffian, pengasas dan satu-satunya anggota asal Lost Infidel yang masih aktif, idea untuk menerbitkan Back from the Dead tercetus daripada keinginan untuk menyempurnakan usaha yang tertangguh sejak puluhan tahun lalu, selain menghasilkan rakaman yang jauh lebih baik berbanding demo lama mereka, Endless Suffer, yang dikeluarkan pada awal 1990-an.
“Malam tadi ada makan-makan sikit dengan sponsor oleh Eden Reg, yang juga bassist Lost Infidel sekarang, dan kami juga sempat buat podcast tentang EP ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran.

Beliau berkata, hasrat untuk merakam EP itu telah lama wujud, namun pelbagai kekangan, termasuk kesukaran mencari barisan pemuzik yang sesuai, menyebabkan ia tertangguh.
“Saya memang rasa terkilan sikit sebab tak dapat meneruskan Lost Infidel dengan barisan asal. Tapi buat masa sekarang, band ini masih boleh bergerak. Cuma jarak dan masa untuk jamming agak terhad. Untuk gig atau persembahan seterusnya, kami akan buat lebih baik,” katanya.
Mengulas tentang arah muzik Back from the Dead, Suffian menjelaskan bahawa Lost Infidel pada asalnya merupakan band grindcore sepenuhnya, dengan lagu-lagu pendek sekitar satu hingga dua minit. Namun, faktor teknikal serta perkembangan minat muzik telah membawa masuk elemen death metal ke dalam karya terbaharu mereka.
“Dulu memang grindcore total, tapi atas sebab teknikal dan minat, riff-riff death metal mula masuk dalam lagu-lagu EP ini. Senang cerita, ini deathgrind — gabungan grind, growl, gore, core dan noise,” ujarnya.

Lost Infidel ditubuhkan pada penghujung 1988, bermula dengan nama VEX sebelum menukar nama kepada Lost Infidel tidak lama kemudian. Mereka sempat merakam demo Endless Suffer pada tahun 1991 sebelum ‘tidur’ untuk tempoh yang lama.
“Saya sedar dua, tiga tahun lepas, kenapa tidak saya bangunkan semula dan habiskan apa yang saya mulakan puluhan tahun dulu. Lagipun material memang sudah ada dan boleh dibuat jauh lebih baik daripada dulu,” katanya.
Usaha menghidupkan semula band itu akhirnya menemukan Suffian dengan Eden Reg serta beberapa pemuzik di Bintulu yang menunjukkan minat untuk bersama-sama menjayakan Lost Infidel, sekali gus membolehkan EP Back from the Dead direalisasikan.
Walaupun kebanyakan anggota semasa berpangkalan di Bintulu, Suffian menegaskan identiti Lost Infidel kekal sebagai band dari Kuching.
“Lost Infidel tetap band dari Kuching, Sarawak,” tegasnya.

Pelancaran Back from the Dead bukan sahaja menandakan kemunculan semula Lost Infidel selepas sekian lama, malah dianggap sebagai satu detik penting buat peminat grindcore dan death metal tempatan yang membesar dengan nama-nama perintis muzik ekstrem Sarawak.
