Usanita Lancar UTV, Platform Penstriman Baharu dengan Model “Pay Per Content”

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Usanita Sdn. Bhd. hari ini melancarkan platform penstriman UTV (Usanita TV) di Zepp Kuala Lumpur, memperkenalkan model baharu “Pay Per Content” yang membolehkan pengguna membeli judul pilihan tanpa komitmen langganan bulanan.
UTV yang membawa tagline “Stream For You” turut menawarkan kandungan percuma seperti podcast, talk show dan segmen UTV Smart. Platform ini juga membuka ruang pitching kepada penggiat seni, daripada penerbit berpengalaman hingga penulis skrip baharu.

Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan berkata, UTV diwujudkan untuk menghargai karya tempatan sebagai warisan bangsa dan membuka peluang baharu kepada idea kreatif.
UTV turut bekerjasama dengan pengarah berkaliber seperti Erma Fatima, Izuan Mokhtar, Tam Suhaimi dan Rahila Ali, selain menampilkan pelakon popular seperti Fattah Amin, Nora Danish, Remy Ishak dan Nabila Huda, bersama wajah baharu industri.
Pelancaran UTV dilihat sebagai langkah memperkukuh ekosistem hiburan digital tempatan, sekali gus memberi ruang karya Malaysia menembusi pasaran global.