October 22, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

UNIC Raikan Dua Dekad Dalam Konsert Istimewa Disember Ini

Spread the love

Kumpulan nasyid tersohor tanah air, UNIC, bakal meraikan lebih dua dekad perjalanan seni mereka menerusi konsert solo penuh pertama berjudul “This Is UNIC: Live In Concert” yang dijadual berlangsung pada 20 Disember ini di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Konsert yang dianjurkan oleh Triple Am Global itu dijangka menjadi detik istimewa buat trio UNIC — Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi — selepas sekian lama menghiburkan peminat dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif.

Menurut Bazli, konsert tersebut menjadi medan untuk mereka menghargai kesetiaan peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan UNIC sejak awal penubuhan.

Katanya, penganjuran konsert berskala besar itu juga bertujuan mengembalikan semangat muzik nasyid ke pentas arus perdana serta membuktikan bahawa irama dakwah masih relevan dan mampu menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat.

Konsert berdurasi dua jam itu akan menampilkan perjalanan muzik UNIC dari awal kemunculan mereka hingga kini, dengan setiap segmen persembahan menggambarkan fasa perkembangan kumpulan berkenaan sepanjang lebih dua dekad berkarya.

Dr. Fitri menjelaskan, konsert itu dirangka sebagai sebuah perjalanan muzik dan spiritual yang memberi peluang kepada penonton untuk menghayati setiap fasa evolusi UNIC, daripada lagu-lagu klasik yang membentuk identiti kumpulan hingga ke susunan moden yang lebih segar dan dinamik.

Selain persembahan vokal mantap, konsert berkenaan turut diserikan dengan iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman bagi menjanjikan pengalaman menonton yang menggabungkan elemen moden dan tradisional.

Fakhrul pula berkata, setiap persiapan dibuat dengan rapi, termasuk latihan vokal, mental dan fizikal bagi memastikan mutu persembahan berada pada tahap terbaik.

Antara lagu-lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah”, yang akan diberikan sentuhan baharu selaras dengan konsep persembahan kali ini.

Konsert itu juga dijangka menampilkan beberapa artis jemputan yang pernah bekerjasama dengan UNIC, sebagai simbolik kepada perjalanan panjang kumpulan berkenaan dalam industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, berkata pihaknya terpanggil untuk merealisasikan konsert tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan mesej dakwah melalui muzik.

Katanya, “This Is UNIC” bukan sekadar konsert, sebaliknya simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis serta peminat yang menjadi tunjang utama kejayaan mereka.

Tiket bagi “This Is UNIC: Live In Concert” mula dijual hari ini melalui laman web www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC, dengan harga bermula RM89 hingga RM249 mengikut kategori tempat duduk.

Konsert ini turut mendapat kerjasama Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, selain Hot FM, Kool 101 MY dan Molek FM sebagai rakan radio rasmi. Busana eksklusif UNIC pula direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Eja Shahril.

Lebih daripada sekadar persembahan, konsert ini dilihat sebagai titik kebangkitan semula irama nasyid di pentas besar serta bukti bahawa perjuangan seni berteraskan dakwah masih utuh di hati peminat.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page