October 24, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ungu Sentuh Hati Peminat Dengan Simfoni Nostalgia dan Cahaya Emosi

Spread the love

UNGU, mengukir satu lagi detik bersejarah dalam karier mereka menerusi konsert eksklusif “29th Anniversary – Symphony of Ungu” yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam 12 Julai lalu.  Segalanya terungkap dalam suasana yang diwarnai emosi, sorotan cahaya dramatik dan keindahan susunan muzik orkestra

Lebih 2,000 peminat setia hadir memeriahkan malam yang bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan cinta, kesetiaan dan memori tiga dekad antara UNGU dan penggemar mereka di Malaysia.

Konsert dimulakan dengan persembahan penuh emosi oleh Gretchen Quirina, yang mempersembahkan “Mangu”, “Sampai Menutup Mata” dan “Aku Bodoh” dalam pencahayaan lembut rona biru dan ungu, membina suasana galau dan intim yang segera mengikat hati para hadirin.

Suasana berubah menjadi hangat dan penuh semangat apabila Ayda Jebat, penyanyi tersohor Malaysia, muncul sebagai artis undangan khas untuk menyampaikan duet ikonik bersama UNGU menerusi “Tercipta Untukku” dan “Bismillah Cinta”. Kombinasi vokal Ayda dan Pasha disambut dengan sorakan gemuruh dan lampu sorot keemasan yang menyinari seluruh dewan.

Dikemudi oleh pengarah muzik J.P. Denny, keseluruhan persembahan UNGU disusun semula dalam bentuk orkestra sinematik berskala besar, mempersembahkan lagu-lagu malar segar mereka dengan nafas baharu. Dari “Demi Waktu” hingga “Cinta Dalam Hati”, setiap not dan melodi menggema dengan sempurna menerusi sistem bunyi bertaraf tinggi yang memenuhi ruang akustik Plenary Hall dengan kejituan dan kemurnian luar biasa.

Sorotan utama malam itu pastinya saat lagu “Bila Tiba” dipersembahkan, satu penghormatan tulus buat anggota teknikal merangkap sahabat lama mereka, Gatot Kies Afierianto, yang meninggal dunia bulan lalu. Diiringi visual montaj kenangan dan cahaya putih berkelip lembut, persembahan itu membuatkan ramai penonton mengesat air mata dalam diam.

Vokalis utama UNGU, Pasha, tampil bukan sahaja dengan vokal mantap tetapi juga jenaka spontan dan aura mesra yang menjadikan malam itu terasa peribadi.

“Setiap kali kami datang ke Malaysia, rasanya seperti pulang ke rumah sendiri,” ujar Pasha dengan penuh haru, disambut sorakan “Kami cinta UNGU!” dari seluruh dewan.

Konsert ini adalah hasil usaha Idea dan AVG Entertainment Sdn. Bhd., yang berjaya menterjemah momen ulang tahun ke-29 UNGU ke dalam pengalaman audio visual yang tidak akan dilupakan – dari rekaan pencahayaan teaterikal hinggalah ke sistem bunyi berdefinisi tinggi yang mengangkat setiap lagu ke tahap magis.

Lebih dari sekadar persembahan muzik, Symphony of Ungu adalah satu perjalanan emosi, penghargaan buat masa lalu, dan janji akan masa depan yang terus bersinar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page