Ungu Cipta Sejarah Bersama Orkestra di Kuala Lumpur Sempena Ulang Tahun ke-29

Merayakan hampir tiga dekad perjalanan seni, kumpulan rock romantik terkenal dari Indonesia, Ungu, bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi konsert mega “29th Anniversary – Symphony of Ungu” yang akan berlangsung pada 12 Julai 2025 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Memasuki tahun ke-29 dalam karier muzik mereka, Ungu buat pertama kalinya akan bergandingan dengan orkestra penuh, menjadikan konsert ini bukan sahaja istimewa malah belum pernah direalisasikan di Indonesia sendiri. Ia merupakan langkah berani dan signifikan dalam memperkayakan naratif muzik kumpulan yang mula mencipta nama sejak 1996.

“Sepanjang 29 tahun, ini merupakan sejarah dan perjalanan baharu buat kami apabila pertama kali diiringi orkestra penuh bagi sebuah konsert mega. Ia juga belum pernah lagi diadakan di Indonesia,”ujar Pasha sewaktu sidang media secara virtual yang telah di adakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.
Konsert yang dijangka berlangsung selama lebih dua jam itu akan menampilkan 17 lagu malar segar, termasuk rangkaian balada yang sinonim dengan Ungu, namun dengan sentuhan baru hasil garapan pengarah muzik JP Denny. Penonton dijanjikan persembahan yang menyentuh emosi dan memberi penghormatan kepada evolusi muzik Ungu sepanjang hampir tiga dekad.
“Kami tampil dengan pembaharuan menyeluruh, bukan sekadar dari segi muzik, bahkan mesej tersendiri kepada pencinta muzik. Konsep orkestra ini juga adalah penghargaan buat penggemar kami di Malaysia,” tambah Pasha.

Selain alunan muzik yang menyentuh perasaan, produksi konsert turut memberi penekanan terhadap aspek teknikal dengan sistem audio bertaraf tinggi dan pencahayaan kreatif yang akan memperkayakan keseluruhan pengalaman penonton. Gabungan bunyi berkualiti dan visual dramatik ini akan membawa peminat lebih dekat dengan setiap emosi yang disampaikan melalui muzik Ungu.
Konsert yang dianjurkan oleh Apex Venture Global Sdn. Bhd. ini menampilkan JP Denny sebagai pengarah muzik orkestra. Menurut wakil penganjur, Amin Aizuddin, pihaknya yakin dengan keupayaan Ungu sebagai sebuah kumpulan legenda yang memiliki sokongan padu dari peminat sejak dua dekad lalu.
“Kapasiti dewan adalah sekitar 2,865 penonton dan kami jangka tiket akan terjual dengan pantas. Ungu merupakan nama besar yang sudah sebati dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Tiket boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my dengan harga bermula dari RM288 hingga RM1,588.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan momen bersejarah Ungu bersama alunan orkestra penuh megah, ini adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan. Satu malam yang menjanjikan memori indah bersama lagu-lagu galau yang kini diberi nafas baharu.